PUTRAJAYA, 18 Ogos 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Cawangan Maqasid Syariah, Bahagian Dasar Kemajuan Islam dengan kerjasama Bahagian Penerbitan terus memperkasa kefahaman mengenai Maqasid Syariah melalui Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku “Kaedah Maqasid Al-Shari’ah” Siri 12/2025.
Program yang berlangsung di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya ini disertai seramai 20 orang peserta daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana JAKIM. Kupasan buku telah disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, Felo Maqasid Institut Malaysia (MIM) yang juga penulis, penterjemah dan penyelidik karya tersebut.
Kursus siri ini memberi fokus kepada Bab 7: Kaedah Maqasid Al-Mukallaf (Tujuan dan Niat Mukallaf) dengan membincangkan empat lagi kaedah daripada lapan kaedah utama. Perkongsian kali ini menekankan bagaimana prinsip Maqasid Syariah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian termasuk dalam pelaksanaan dasar dan polisi semasa.
Melalui pendekatan interaktif, peserta berpeluang memahami dengan lebih mendalam bagaimana konsep maslahah dan hikmah dalam Maqasid Syariah boleh menjadi asas penyelesaian terhadap cabaran kontemporari serta panduan dalam penggubalan dasar dan polisi semasa.
Kursus Eksplorasi Maqasid Siri 12/2025 berakhir dengan jayanya dan diharapkan dapat terus menjadi platform pencerahan ilmu, memperkukuh wacana intelektual, serta menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang bukan sahaja memahami falsafah hukum Islam, tetapi juga menghayati maqasidnya demi kesejahteraan ummah dan negara.







