Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
Putrajaya, 22 September – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pejumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan September bertempat di Dewan De Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee bersama pengurusan tertinggi dan para pegawai JAKIM bagi mendengar amanat yang disampaikan YAB Perdana Menteri.

Dalam ucapannya, beliau mengulas mengenai karya ulama tersohor, Almarhum Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, khususnya mengenai konsep Fiqh al-Awlawiyat (Fiqh Keutamaan), yang menekankan kepentingan memahami sesuatu isu mengikut neraca keutamaan dalam Islam serta penerapannya dalam pentadbiran negara.

Sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, YAB Perdana Menteri turut mengumumkan penurunan harga minyak RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter berkuat kuasa 30 September 2025. Inisiatif ini diyakini mampu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dengan mengurangkan beban kos sara hidup serta mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam mengutamakan kesejahteraan masyarakat.

Semoga dengan perjumpaan bulanan bersama YAB Perdana Menteri ini dapat meneguhkan lagi iltizam warga perkhidmatan awam untuk bersama-sama merealisasikan agenda Malaysia MADANI demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

perhimpunan JPM 01

perhimpunan JPM 02

perhimpunan JPM 03