Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
Kuala Lumpur, 16 September – Global Halal Summit (GHAS) 2025 membuka tirai dengan megah melalui 15th Halal Certification Bodies Convention (HCBC) 2025 dan 4th International Halal Technical Capacity Development Program (IHTCDP), yang menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa, pihak industri serta penggubal dasar halal dari seluruh dunia. Kedua-dua program utama anjuran JAKIM ini berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur dari 16 hingga 17 September 2025.

Kehadiran Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, nyata mencuri tumpuan, khususnya delegasi antarabangsa. Dalam ucapannya, beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta antarabangsa dan menyatakan penghargaan atas sokongan luar biasa daripada lebih 50 negara yang hadir. Beliau menegaskan bahawa Malaysia komited untuk terus menerajui agenda halal global melalui kerjasama strategik, standardisasi bertaraf dunia, dan pembangunan kapasiti yang inklusif.

Beliau menekankan bahawa aset terbesar sesebuah badan pensijilan halal adalah tenaga manusianya sendiri. “Badan Pensijilan yang kompeten ibarat seorang detektif mahir. Mereka dilengkapi latihan dan alat untuk menjejaki setiap perjalanan produk, memastikan tiada peraturan dilanggar. Sebaliknya, badan yang tidak kompeten mungkin terlepas petunjuk penting,” ujarnya.

Ketua Pengarah JAKIM turut menegaskan bahawa bagi pengguna Muslim, sijil halal adalah seperti preskripsi doktor, jaminan kesucian yang berpandukan kepakaran dan kepercayaan. Kegagalan mengekalkan integriti halal bukan sahaja menjejaskan keyakinan pengguna, tetapi turut menggugat industri keseluruhan, menjadikan sijil yang sah dipersoalkan dan menjejaskan perdagangan bernilai berbilion ringgit.
“Ia setara dengan mendapati ubat dipercayai adalah palsu, bukan sahaja merugikan pesakit, malah menggugat seluruh rantaian bekalan farmaseutikal yang dibina atas kepercayaan,” tambah beliau.

Dengan penyertaan pelbagai badan pensijilan halal antarabangsa, GHaS 2025 membuktikan bahawa industri halal bukan sahaja diiktiraf sebagai piawaian global, malah menjadi rujukan universal yang diyakini. Penganjuran tahun ini menekankan bukan sahaja aspek teknikal, tetapi yang paling utama adalah membina kompetensi berkaitan syariah secara menyeluruh. Inisiatif ini selari dengan keperluan global yang menuntut tahap keselamatan, kebersihan, dan standard halal yang tinggi, sambil memperkukuh kapasiti tenaga kerja halal, memperluas jaringan kerjasama antarabangsa, dan menegaskan Malaysia sebagai pusat rujukan halal dunia yang dipercayai.

Mengangkat tema “Integrity, Sustainability, Resilience”, GHAS 2025 membuka hala tuju baharu kepada pasaran halal global. Program ini bukan sahaja menjadi platform pertemuan pemimpin industri, penggubal dasar, akademik, badan pensijilan halal antarabangsa dan pengguna, tetapi juga menzahirkan tanggungjawab bersama untuk membina ekosistem halal yang diyakini, berinovasi dan berdaya tahan menghadapi cabaran ekonomi global yang dinamik.

Untuk rekod, GHaS 2025 menggabungkan tujuh acara utama, dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui badan-badannya seperti MATRADE, HDC, dan JSM, serta turut melibatkan Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), UPM, dan Islamic Tourism Centre (ITC). Program ini berlangsung dari 16 hingga 26 September di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya, bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan memperluas jaringan global industri halal, selaras dengan aspirasi JAKIM menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan halal dunia.

#GlobalHalalSummit2025
#JAKIMuntukUmmah
#PelanTransformasiAlFalah
#IslamMekarDiBumiMalaysia
#MalaysiaMadani

GHaS Convention 2025 01

GHaS Convention 2025 02

GHaS Convention 2025 03

GHaS Convention 2025 04

GHaS Convention 2025 05

GHaS Convention 2025 06

GHaS Convention 2025 07

GHaS Convention 2025 08

GHaS Convention 2025 09

GHaS Convention 2025 10