Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 29 September 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus memperkukuh agenda pengarusperdanaan pemahaman Syariah dengan menganjurkan Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku Kaedah Maqasid al-Shari’ah Siri 13/2025. Program ini berperanan sebagai medan ilmu yang memperluas horizon pemikiran mengenai kepentingan Maqasid Syariah dalam membina kefahaman hukum Islam yang bersifat menyeluruh (holistik) dan kontekstual.

Kursus anjuran Cawangan Maqasid Syariah dengan kerjasama Bahagian Penerbitan JAKIM ini telah berlangsung di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya, melibatkan penyertaan 25 pegawai dari pelbagai peringkat pengurusan dan pelaksana. Sesi intensif dua jam ini memberi penekanan terhadap pemerkasaan amalan berpaksikan Maqasid Syariah dalam konteks pentadbiran dan pengurusan semasa.

Menariknya, kursus kali ini menampilkan Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, penterjemah karya monumental Kaedah Maqasid al-Shari’ah oleh Prof. Dr. Ahmad Raysuni, sebagai penceramah jemputan. Buku tersebut menghimpunkan 80 kaedah utama dalam Maqasid Syariah, dengan kursus siri ini memberi tumpuan khusus kepada Bab 8: Kaedah Berkaitan Ijtihad dan Istinbat Hukum Menurut Kerangka Maqasid Syariah.

Penerokaan lima kaedah utama daripada Bab 8 membuka perbincangan mendalam tentang peranan Maqasid Syariah dalam proses ijtihad kontemporari, khususnya dalam menentukan hukum yang berpaksikan prinsip maslahah (kepentingan umum) serta mengelakkan mafsadah (kemudaratan). Pendekatan ini menekankan keanjalan Syariah yang mampu menjawab cabaran semasa tanpa meninggalkan kerangka tradisi ilmu Islam yang mapan.

Lebih daripada sekadar wacana ilmiah, kursus ini merupakan strategi terancang dalam memperkasa nilai Syariah sebagai kompas etika dan moral dalam pembuatan keputusan, sama ada di peringkat individu, organisasi mahupun pentadbiran negara. Kefahaman mendalam terhadap neraca maslahah-mafsadah diyakini dapat melahirkan pegawai yang berperanan sebagai agen perubahan, sekali gus mengangkat nilai rahmah, hikmah dan kesejahteraan dalam sistem tadbir urus negara dan kehidupan bermasyarakat.

Eksplorasi Maqasid Syariah 01

Eksplorasi Maqasid Syariah 02

Eksplorasi Maqasid Syariah 03