Kurator Berita : Pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 27 Oktober 2025 – Program Kursus Eksplorasi Maqasid Syariah Siri 15/2025 telah diteruskan dengan jayanya melalui penganjuran Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Bahagian Penerbitan.

Siri kali ini menampilkan kupasan ilmiah terhadap Bab 9: Kaedah Penyingkapan Maqasid al-Shariah daripada buku Kaedah Maqasid al-Shariah, dengan tumpuan terhadap Kaedah 70 hingga 77 yang menghuraikan prinsip penting bahawa sumber bagi Maqasid Syariah hanyalah al-Quran dan al-Sunnah, serta penegasan bahawa sesuatu perkara tidak boleh disebut sebagai maqasid melainkan dengan dalil yang sahih dan kukuh.

Sesi pengajian disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, Felo Maqasid Institut Malaysia (MIM), yang juga merupakan penulis, penterjemah dan penyelidik karya ilmiah tersebut. Melalui pendekatan analitikal dan bersumberkan disiplin ilmu usul al-fiqh, beliau menghuraikan bagaimana prinsip-prinsip maqasid dapat difahami secara berasaskan dalil naqli, di samping menolak pandangan yang bersifat spekulatif atau tidak bersandarkan sumber syarak.

Menurut beliau, memahami maqasid tidak hanya bergantung pada keinginan rasional manusia semata-mata, tetapi perlu berpaksikan wahyu agar tafsiran maqasid tidak tersasar daripada matlamat asal syariah yang sebenar. Pendekatan ini memperkukuh kefahaman bahawa maqasid bukanlah konsep bebas, sebaliknya berpaut erat pada sumber hukum utama al-Quran dan al-Sunnah. Kursus ini diadakan secara bersemuka di Perpustakaan JAKIM bagi membolehkan penyertaan luas daripada warga JAKIM. 

Penganjuran siri kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman, penghayatan dan kemahiran peserta dalam menerapkan prinsip Maqasid Syariah dalam pelaksanaan dasar, penyelidikan dan tadbir urus Islam di pelbagai peringkat. Inisiatif ini turut menyokong visi JAKIM untuk menjadikan Maqasid Syariah sebagai teras kepada pentadbiran Islam yang berpaksikan nilai-nilai syarak, rasional dan kesejahteraan sejagat.

Kursus Eksplorasi Maqasid Syariah yang diadakan secara bersiri ini merupakan usaha berterusan JAKIM dalam memperkasa modal insan, memperluas horizon pemikiran Islam serta mengukuhkan keupayaan pegawai dalam memahami dimensi maqasid sebagai asas kepada keadilan dan keseimbangan dalam pembangunan ummah.

JAKIM Terus Perkasa Kefahaman Ilmu Maqasid Syariah Melalui Kupas Tuntas Bab 9 Buku Kaedah Maqasid AlShariah 01

JAKIM Terus Perkasa Kefahaman Ilmu Maqasid Syariah Melalui Kupas Tuntas Bab 9 Buku Kaedah Maqasid AlShariah 02

JAKIM Terus Perkasa Kefahaman Ilmu Maqasid Syariah Melalui Kupas Tuntas Bab 9 Buku Kaedah Maqasid AlShariah 03

JAKIM Terus Perkasa Kefahaman Ilmu Maqasid Syariah Melalui Kupas Tuntas Bab 9 Buku Kaedah Maqasid AlShariah 04