PUTRAJAYA, 15 Januari 2026 – Ekspo Buku JAKIM membuka tirai tahun perkhidmatan 2026 dengan kehadiran YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN), sempena Majlis Amanat KSN Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan De’ Seri Endon, Puspanitapuri, Putrajaya. Kesudian beliau dan penjawat-penjawat awam mengunjungi reruai Kedai Buku JAKIM sempena majlis ini mencerminkan sokongan padu serta menjadi pencetus semangat kepada warga JAKIM untuk terus bertindak secara lebih pantas, bersepadu dan berfokus kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada rakyat, selaras dengan tema “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi.”
Ekspo Buku JAKIM (EBJ) merupakan penjenamaan baharu yang diperkenalkan pada tahun 2023 bagi penyertaan JAKIM dalam program promosi dan pameran buku secara turun padang, anjuran agensi atau pihak luar. Sehingga tahun 2025, sebanyak 77 siri EBJ telah berjaya dilaksanakan melalui kerjasama dengan agensi kerajaan, swasta, badan berkanun serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat persekutuan, negeri dan serantau.
Pelaksanaan EBJ telah membuka pelbagai pengalaman baharu serta membina jaringan kerjasama strategik yang meletakkan JAKIM pada kedudukan “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan penerbit lain, sekali gus mengukuhkan imejnya sebagai antara agensi penerbit bahan bacaan Islam yang berautoriti dalam industri perbukuan negara. Saban tahun, undangan untuk menyertai pameran buku di peringkat nasional dan antarabangsa terus meningkat, mencerminkan penerimaan positif terhadap misi dakwah melalui penulisan bahan terbitan JAKIM berteraskan tagline #DaripadaTintaMembentukJiwa.
Bagi tahun 2026, misi EBJ diteruskan dengan pendekatan yang lebih berfokus kepada kumpulan sasar tertentu, selaras dengan matlamat untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki serta memanfaatkan buku dan bahan terbitan JAKIM sebagai pilihan bacaan. Tagline #BukuUntukUmmah diangkat sebagai terjemahan kepada strategi yang lebih inklusif, pantas dan mesra rakyat dalam menyebarkan manfaat ilmu serta memakmurkan budaya iqra’ dalam kalangan ummah.
Teruskan sokongan terhadap Kedai Buku JAKIM. Semoga inisiatif ini terus memberi impak nyata kepada perkhidmatan awam dan menyumbang kepada kebaikan serta kemajuan negara. Insya-Allah.











