Putrajaya, 3 Februari 2026 (Selasa) : Menjelang ketibaan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA) telah melaksanakan Program Ziarah Mahabbah Ambang Ramadan.
Program yang penuh ukhuwah ini bertujuan untuk menyantuni kepimpinan negara dan warga perkhidmatan awam serta menyampaikan makluman berkaitan perkhidmatan dan peranan masjid sempena kehadiran bulan Ramadan yang mulia. Delegasi JAKIM ini telah mengadakan kunjungan rasmi ke dua lokasi utama iaitu Pejabat Timbalan Perdana Menteri di Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA) dan Unit Integriti PETRA, Putrajaya. Delegasi ini telah disambut dengan mesra oleh YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Kunjungan ini diketuai oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewakili YBhg. Dato’ Ketua Pengarah JAKIM. Turut hadir bersama ialah YBrs. Dr. Muhammad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM dan YBrs. Ustaz Ridzuan bin Awang, Imam Besar MTMZA serta pegawai-pegawai juga kakitangan MTMZA.
Selain daripada bertukar pandangan mengenai pengurusan hal ehwal Islam dan integriti di tempat kerja, ziarah ini juga menjadi medium penyampaian pesanan kerohanian sebagai persiapan mental dan spiritual buat warga kerja PETRA dalam menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba. Program diakhiri dengan penyampaian cenderamata tanda kenang-kenangan dan simbolik persaudaraan (Mahabbah) antara pihak JAKIM dan PETRA.

















