PUTRAJAYA, 25 Februari 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Cawangan Maqasid Syariah, Bahagian Dasar Kemajuan Islam mengorak langkah proaktif ke hadapan dengan penubuhan rasmi Panel Pakar Pembangunan Indeks Tadbir Urus Maqasid Syariah Malaysia.
Majlis Penyerahan Surat Lantikan Panel Pakar ini serta mesyuarat pertamanya bagi tahun 2026 telah berlangsung dengan jayanya bermula jam 8.30 pagi, bertempat di Kompleks Islam Putrajaya.
Majlis telah dimulakan dengan penyerahan surat lantikan serta ucapan yang disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM. Panel yang dilantik bagi tempoh dua (2) tahun ini dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan dan Dr. Ahmad Badri bin Abdullah selaku Timbalan Pengerusi. Turut membarisi keanggotaan panel ini ialah tokoh-tokoh akademik dan pakar maqasid syariah daripada universiti tempatan dan agensi iaitu Dr. Muhammad Safwan bin Harun, Dr. Md. Azzaat Ahsanie bin Lokman, Dr. Rosli bin Mokhtar, Ustaz Marwan Bukhari bin A Hamid dan Dr. Abdul Muhaimin bin Mahmood.
Sejurus selepas majlis penyerahan lantikan, mesyuarat pertama Panel Pakar Indeks Tadbir Urus Maqasid Syariah telah dipengerusikan oleh Tuan Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil. Antara agenda penting yang dibincangkan termasuklah pembentangan Terma Rujukan (TOR), pembentangan Perancangan Indeks bagi tahun 2026 dan pembentangan Cadangan Instrumen Pengukuran untuk penelitian dan perbincangan lanjut ahli mesyuarat.
Penubuhan panel pakar ini membawa mandat yang besar untuk menyumbang secara strategik dalam memastikan kualiti dan kredibiliti indeks yang dihasilkan kelak menepati kaedah-kaedah syarak dan maqasid syariah kontemporari. Usaha ini adalah sebahagian daripada persediaan rapi JAKIM ke arah pelaksanaan pengukuran Indeks Tadbir Urus Maqasid Syariah Malaysia yang disasarkan selesai pada penghujung tahun 2026.
Semoga usaha ini diberkati Allah SWT dalam usaha kita memartabatkan prinsip Maqasid Syariah dalam pentadbiran dan kemajuan negara.









#JAKIM
#MaqasidSyariah
#IndeksTadbirUrusMaqasidSyariah
#MalaysiaMADANI








