2 April 2026 l Kementerian Luar Negeri, Putrajaya
Sesi taklimat ini dianjurkan oleh Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri dengan Kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dan Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Ia bertujuan untuk memberi pendedahan dan panduan teknikal mengenai tatacara pengesahan dokumen perkahwinan secara digital melalui portal Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM). Inisiatif ini merupakan langkah transformasi digital bagi memudahkan urusan konsular melibatkan rakyat Malaysia di Luar negara. Peserta taklimat ialah Wakil Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia di Luar Negara (Malawakil) dan semua Penolong Pegawai Tadbir (PPT) di Kementerian Luar Negeri.
Bagi menyelaraskan perbezaan zon waktu di seluruh dunia, sesi taklimat telah dibahagikan kepada dua slot utama iaitu sesi pagi pada jam 10.00 hingga 11.30 bagi Malawakil zon Asia, Oceania dan Pasifik. Manakala sesi petang pada jam 4.00 hingga 5.30 bagi Malawakil zon Eropah, Afrika dan Amerika. Taklimat ini dilaksanakan secara hybrid (secara bersemuka dan dalam talian).
Objektif yang dicapai melalui taklimat ini ialah Penyelarasan Standard iaitu memastikan semua Malawakil mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang seragam dalam mengendalikan pengesahan dokumen perkahwinan. Di samping itu, bagi meningkatkan lagi Efisiensi Perkhidmatan di mana ia dapat mengurangkan tempoh masa memproses pengesahan dokumen daripada manual kepada sistem digital yang lebih pantas dan akhirnya Literasi Digital dapat ditingkat dengan kompetensi Penolong Pegawai Tadbir (PPT) dalam mengendalikan platform digital kementerian.
Secara keseluruhannya, sesi taklimat ini berjalan dengan lancar dengan penyertaan aktif seramai 194 orang daripada 102 pejabat perwakilan Malaysia di seluruh dunia. Pelaksanaan pengesahan dokumen perkahwinan melalui SPPIM ini dijangka akan memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan konsular Malaysia di peringkat global, selaras dengan aspirasi kerajaan digital.
Unit SPPIM
Unit NCR Dalam dan Luar Negara



