PUTRAJAYA, 10 April – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Unit Integriti telah berjaya menganjurkan Bengkel Pemurnian Dokumentasi Pelan CRM pada 9 hingga 10 April 2026 bertempat di Hotel Pulse Grande, Putrajaya.
Penganjuran bengkel ini bertujuan untuk memurnikan serta memperkemas dokumentasi Pelan CRM JAKIM agar selari dengan garis panduan semasa dan amalan terbaik dalam pengurusan risiko rasuah. Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan jabatan dalam memperkukuh sistem tadbir urus, integriti serta ketelusan dalam penyampaian perkhidmatan.
Bengkel ini telah disertai oleh pegawai-pegawai daripada pelbagai Bahagian dan Pusat Tanggungjawab (PTj) di bawah JAKIM yang memainkan peranan penting dalam mengenal pasti, menilai serta mengurus risiko rasuah di peringkat operasi masing-masing. Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta telah diberikan pendedahan menyeluruh berkaitan kaedah penyediaan dan pemurnian pelan CRM yang lebih sistematik, praktikal dan berkesan.
Program ini turut mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada Tuan Ahmad Kamal bin Abd. Rahman, Penolong Pesuruhjaya SPRM yang berkongsi kepakaran serta pengalaman beliau dalam bidang pengurusan risiko rasuah. Perkongsian tersebut memberi nilai tambah kepada peserta khususnya dalam memahami pendekatan yang lebih komprehensif serta mengetahui dan mematuhi peraturan atau keperluan undang-undang semasa yang sedang dikuatkuasakan.
Selain itu, bengkel ini turut memberi ruang kepada sesi perbincangan dan penambahbaikan secara berfokus melibatkan setiap Bahagian dan PTj bagi memastikan setiap risiko yang dikenal pasti dapat ditangani melalui pelan tindakan yang jelas, realistik dan boleh dilaksanakan.
Komitmen padu yang ditunjukkan oleh pegawai-pegawai JAKIM di peringkat Bahagian dan PTj dalam menyediakan serta memurnikan Pelan CRM ini mencerminkan kesungguhan jabatan dalam membudayakan integriti serta menolak sebarang bentuk perlakuan rasuah. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus sektor awam yang bersih, cekap dan berakauntabiliti.
Secara keseluruhannya, penganjuran bengkel ini diharapkan dapat memperkasakan lagi Pelan CRM JAKIM sebagai dokumen rujukan utama dalam pengurusan risiko rasuah serta menjadi pemangkin kepada penambahbaikan berterusan ke arah organisasi yang lebih telus, berintegriti dan diyakini.


Sebahagian peserta Bengkel Pemurnian Pelan CRM JAKIM bergambar bersama penceramah sebagai kenang-kenangan.
Peserta bengkel tekun mengikuti sesi pembentangan dan bimbingan oleh penceramah sepanjang program berlangsung.
Terpamir kesungguhan dan komitmen daripada Pegawai yang hadir dalam bengkel ini.
Peserta bengkel memberi tumpuan dalam sesi perbincangan dan penyediaan input bagi pemurnian Pelan CRM JAKIM.
Tekun dan berfokus para pegawai dalam melengkapkan Pelan CRM di peringkat Bahagian dan PTj masing-masing.