Shah Alam, Selangor, 18 - 20 Mei 2026 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia berperanan memperkasakan penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam termasuklah pengurusan harta pusaka. Melalui melalui Bahagian Perundangan Syariah, JAKIM telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Faraid) Bil. 2 Tahun 2026 pada 18 hingga 20 Mei 2026 bertempat di Hotel Concorde, Shah Alam, Selangor. Mesyuarat ini adalah bertujuan untuk menyedia dan menggubal draf Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Faraid) dengan membincangkan isu dan permasalahan berbangkit dalam proses pengurusan faraid.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Hidayat bin Buang, Profesor Kehormat, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Mohd Zamro bin Muda, Timbalan Dekan Prasiswazah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia; wakil Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang, Jabatan Peguam Negara; wakil Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan; wakil Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan; wakil Majlis Agama Islam Selangor dan Penasihat Undang-Undang, JAKIM.
Mesyuarat juga telah mengikuti dua (2) pembentangan bertajuk “Prosedur Pendengaran Kes Harta Pusaka Orang Islam di Mahkamah Sivil” yang telah disampaikan oleh Tuan Mohd Hirman bin Raub, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Klang, Selangor; dan “Prosedur Pendengaran Kes Faraid di Mahkamah Syariah” yang telah disampaikan oleh Tuan Mohd Amir bin Haji Ariffin, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.







