jata negara small

KENYATAAN MEDIA


BERKENAAN

KEPUTUSAN
UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK)
MENGGUNAKAN MODUL PENILAIAN KELAS KAFA (MPKAFA)
TAHUN 2021

TARIKH SIARAN : 28 DISEMBER 2021 (SELASA)
MASA : 3.00 PETANG
 
  1. Sebagaimana yang telah dimaklumkan melalui media sosial rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bahawa keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) yang menggunakan Modul Penilaian Kelas KAFA (MPKAFA) bagi subjek bertulis yang telah diadakan pada 15 hingga 30 November 2021 boleh diketahui mulai jam 11.00 pagi hari ini Selasa 28 Disember 2021 sehingga 11 Januari 2022 jam 11.00 malam secara dalam talian.

  2. Keputusan ini boleh disemak melalui;

    • Laman Web Sistem Maklumat Pendidikan Islam (SIMPENI) di capaian simpeni.islam.gov.my atau;

    • Melalui khidmat pesanan ringkas (Short Message Service – SMS) UPKK<space>NoKadPengenalan/NoPengenalanKhas dan hantar ke 15888.

  3. JAKIM dengan ini juga ingin memaklumkan, Slip Keputusan RASMI ini hanya boleh dimuat turun pada tarikh dan tempoh masa yang telah ditetapkan. Ibubapa disarankan agar menyemak dan memuat turun keputusan yang muktamad dalam tempoh semakan tersebut.

  4. Pada tahun ini, sebanyak 8 mata pelajaran telah diuji dalam bentuk amali dan secara lisan oleh Guru KAFA sepenuhnya kepada calon iaitu:

    1. Amali Solat

    2. Penghayatan Cara Hidup Islam

    3. Al-Quran

    4. Ulum Syariah (Akidah/Ibadah)

    5. Sirah

    6. Adab

    7. Jawi dan Khat

    8. Lughah Al-Quran

  5. Untuk makluman, pelaksanaan pada tahun ini melibatkan seramai 222,528 (Dua Ratus Dua Puluh Dua Ribu Lima Ratus Dua Puluh Lapan) murid tahun enam tahun 2020 dan 242,077 (Dua Ratus Empat Puluh Dua Ribu Tujuh Puluh Tujuh) murid tahun lima tahun 2021. Jumlah calon keseluruhan adalah 464,605 (Empat Ratus Enam Puluh Empat Ribu Enam Ratus Lima) orang calon berdaftar.

  6. Sebanyak 6,163 pusat penilaian telah dilibatkan di seluruh negara penglibatan lebih dari 35,000 orang Guru KAFA di pelbagai premis berdaftar serta petugas peperiksaan

  7. Buat kali pertama dalam suasana Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa, pelaksanaan berbentuk penilaian dapat dilaksanakan dengan jayanya. Keputusan Pelaksanaan MPKAFA yang meningkat pada tahun ini telah memperlihatkan kemampuan murid dalam menyampaikan respon kepada penilai dalam sesi penilaian yang telah dijalankan.

  8. Keputusan yang diumumkan ini adalah bukti dan hasil keberkesanan aktiviti pendidikan KAFA secara keseluruhan termasuk PdPR yang telah dilaksanakan dalam pelbagai cara dan kesesuaian. Pencapaian ini selaras dengan apa yang terkandung di dalam visi dan misi di mana tujuan pengajian KAFA adalah untuk melahirkan manusia yang terdidik dan tidak terikat dengan peperiksaan bertulis semata-mata.

  9. Sukacita juga dimaklumkan, hasil keputusan pada tahun ini telah diterjemahkan dengan peratusan keseluruhan sebanyak 95.37%.

  10. Kejayaan murid dalam Mata Pelajaran Amali Solat adalah sebanyak 97.40%, Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatatkan 96.06%, diikuti Bidang Al-Qur'an yang mencapai 96.89% kelulusan.

  11. Pencapaian ini sekaligus mencapai objektif penilaian yang telah ditetapkan dengan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Qur'an dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian.

  12. Peratusan kelulusan Mata Pelajaran adalah seperti berikut:

Ulum Syariah (Akidah & Ibadah) 96.74 %

Jawi Dan Khat 94.77 %

Sirah 93.21 %

Adab (Akhlak Islamiah) 96.00 %

Lughatul Quran 91.91 %

  1. Kejayaan bukan diukur melalui bilangan A dan peperiksaan semata-mata, tetapi ia diterjemahkan melalui amalan dan cara hidup serta pembudayaan nilai-nilai yang telah dipelajari di kelas KAFA dalam kehidupan seharian.

  2. Harapan JAKIM adalah untuk menjadikan Pendidikan KAFA sebahagian daripada tanggungjawab bagi melahirkan insan yang seimbang dari sudut pendidikan dan cara hidup sempurna. Penerapan nilai yang diterapkan dalam kelas KAFA tidak lain dan tidak bukan adalah untuk melahirkan anak-anak yang mempunyai sahsiah mulia sebagai generasi pewaris masa hadapan negara.

  3. JAKIM amat bersyukur, walaupun dalam suasana penularan wabak COVID-19 yang belum berakhir, pelaksanaan MPKAFA pada tahun ini berjalan dengan baik. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan KAFA khasnya kepada semua Agensi Bertanggungjawab melaksanakan KAFA di peringkat negeri, pentadbir sekolah, guru-guru, ibu bapa serta pihak media.

  4. JAKIM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada murid-murid yang telah berjaya. Hiasilah kejayaan yang bermakna ini dengan penghayatan amalan di dalam kehidupan seharian.

  5. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat di peringkat persekutuan dan negeri dalam mengurus dan mengendalikan MPKAFA 2021 dengan penuh bertanggungjawab.


Sekian.

HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD. YUSOFF
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM
28 Disember 2021