jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN

FENOMENA GERHANA MATAHARI SEPARA 29 MUHARRAM 1431H BERSAMAAN 15 JANUARI 2010M

 


1. Sukacita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Cawangan Falak JAKIM ingin memaklumkan bahawa satu fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku pada 15 Januari 2010M bersamaan 29 Muharam 1431H bermula jam 3.01 petang waktu Malaysia dan dijangka berakhir pada jam 5.38 petang. Gerhana ini akan bermula dengan fasa pertama iaitu pada jam 3.01 petang dan mencapai tahap gerhana maksimum pada jam 4.26 petang.

2. Bersempena kejadian gerhana matahari separa ini juga masyarakat Islam disunatkan menunaikan solat sunat kusuf (solat sunat gerhana matahari) dan disertai dengan khutbah khas gerhana. Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : ”Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu”.

3. Sehubungan dengan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyeru semua masjid-masjid dan surau agar dapat mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah S.W.T dengan mengadakan solat sunat kusuf. Ibadat sunat yang jarang kali dapat dilaksanakan ini seharusnya dapat ditunaikan dengan sebaik mungkin, apatah lagi fenomena gerhana ini berlaku pada hari Jumaat iaitu pada hari kebesaran umat Islam (Saiyidul Ayyam).

4. JAKIM juga melalui Cawangan Falak dan masjid-masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra, Putrajaya akan menganjurkan solat sunat kusuf ini pada jam 3.45 petang.

5. Selain itu aktiviti cerapan juga akan diadakan di kempat-empat masjid tersebut dengan kerjasama agensi luar seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Selangor dan Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi (ILIM). JAKIM menjadikan Masjid Putra, Putrajaya sebagai lokasi utama bagi menunaikan solat sunat gerhana matahari (kusuf), aktviti cerapan dan pameran.

6. Di samping itu, orang ramai juga dijemput bagi mendengar satu ceramah berhubung fenomena ini yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. Ceramah akan bermula pada pukul 2.45 petang iaitu sebelum solat sunat gerhana (Kusuf) disempurnakan. Ceramah yang akan mengupas tajuk Fenomena Gerhana Matahari ini akan disampaikan oleh Dr. Azhari bin Mohamed dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Melalui ceramah ini, hadirin akan dapat mendengar taklimat dan input-input berkaitan bagaimana Gerhana Matahari sebagai salah satu kebesaran Allah berlaku.

7. Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan Putrajaya dan kawasan sekitarnya adalah dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semulajadi ini serta turut serta menunaikan solat sunat kusuf .

 

Sumber : Cawangan Falak, Jakim