jata negara small

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

BERKAITAN

PENGANJURAN
SIMPOSIUM AMALAN TERBAIK PERAWATAN PUSAT PEMULIHAN DADAH PERSENDIRIAN (PPDP) ISLAM 2023

  1. Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, Simposium Amalan Terbaik Perawatan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Islam 2023 dapat diadakan pada 7 hingga 8 Mac 2023 di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi Selangor.

  2. Simposium ini adalah merupakan anjuran bersama antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam Selangor, Asian Centre for Research On Drug Abuse (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Malaysian Association of Drug Addiction Counselors (MADAC).

  3. Ini merupakan inisiatif dan komitmen JAKIM yang berterusan bersama dengan rakan-rakan strategik dalam usaha untuk membantu dan memberikan perkhidmatan bimbingan dan pemulihan kepada penyalahgunaan dadah melalui amalan terbaik perawatan dan pemulihan berteraskan Islamic Spiritual Approach.

  4. Ia juga bertepatan dengan Pelan Transformasi Al-Falah yang telah diperkenalkan di bawah Teras Kedua (2) iaitu Kesejahteraan Insan, Fokus Keempat (4): Pengukuhan Perpaduan Ummah dan Keharmonian Tamadun.

  5. Objektif pelaksanaan simposium ini adalah untuk memperkasa kaedah rawatan dan pemulihan berasaskan Islam yang sedang diamalkan di pusat-pusat khidmat nasihat dan rawatan penyalahgunaan dadah di seluruh Malaysia.

  6. Integrasi naqli dan aqli amat diperlukan dalam usaha membimbing, merawat dan memulihkan penyalahguna, pesakit dadah kerana ia dilihat dapat membantu transformasi diri dalam memahami tujuan kehidupan di dunia, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT.

  7. Pendekatan dalam rawatan dan pemulihan dadah perlu berasaskan pendekatan saintifik yang ditunjangi oleh ajaran agama Islam agar ia lebih strategik dan komprehensif dan melibatkan semua lapisan masyarakat, dan agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam seterusnya mencari kaedah rawatan yang terbaik atau best practices.

  8. Insya Allah dengan izin Allah SWT, dengan mengambil falsafah dan semangat Al-Falah iaitu “Bersama Mencapai Kejayaan”, kita mampu merealisasikan agenda transformasi, islah atau pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi kerajaan “Membangun Malaysia Madani”.

  9. Akhir kata, saya ingin mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kepada JAKIM, Majlis Agama Islam Selangor, Asian Centre for Research On Drug Abuse (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Malaysian Association of Drug Addiction Counselors (MADAC) dan juga Pertubuhan Bukan Kerajaan Pusat-Pusat Pemulihan Dadah Persendirian yang telah sama-sama menjayakan Simposium Amalan Terbaik Perawatan Pusat Pemulihan Dadah Persendirian Islam 2023 yang amat bermakna ini. Semoga kita akan terus istiqomah melawan dan memerangi penyalahgunaan najis dadah di negara yang kita cintai ini.


Sekian, terima kasih.


DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
07 Mac 2023