jata negara small
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH 

PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1445H / 2023M

Bil. 18/2023
  1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2023M pada 19 Julai 2023 (Rabu) bersamaan 1 Muharram 1445H bermula pada jam 9.00 pagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

  2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong As-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

  3. Sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani”. Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

  4. Perpaduan merupakan tunjang kepada masyarakat madani, yang maju bukan hanya dari segi kebendaan tetapi juga fikrah dan kerohanian. Sekiranya Allah berkehendak, nescaya semua manusia dijadikan-Nya satu umat sahaja, namun sebaliknya Allah hendak menguji manusia dengan mencipta segala kepelbagaian. Justeru, wujud kepelbagaian keupayaan dan keinginan, profesion dan pekerjaan; dan manusia diseru agar berlumba-lumba berbuat kebajikan, bukannya merosakkan dan bermusuhan antara satu dengan yang lain.

  5. Seperti kelaziman, pada tahun ini akan diumumkan penerima Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa sempena majlis tersebut.

  6. Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara. Tokoh juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul untuk dicontohi.

  7. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2023M ini akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Doa Akhir dan Awal Tahun di Masjid Negara Kuala Lumpur pada 18 Julai 2023 jam 7.00 malam. Majlis ini akan dihadiri oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

  8. Pembacaan doa akhir dan awal tahun ini akan dipimpin oleh Sahibul Fadhilah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Imam Besar Masjid Negara. Justeru, umat Islam turut dijemput ke Masjid Negara dan disarankan untuk bersama-sama berdoa memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini.

  9. Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H / 2023M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.

  10. Seramai 6000 orang tetamu dijangka akan hadir terdiri daripada Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet, Duta-duta, Ketua-ketua Jabatan/Agensi Kerajaan, pegawai-pegawai kanan Kerajaan, kontinjen yang mengambil bahagian dan juga orang awam.

  11. Sambutan Ma’al Hijrah yang disambut saban tahun di negara kita ini tentunya mempunyai pengertian tersendiri bagi mendidik masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam. Peristiwa Hijrah Nabi Muhammad SAW mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa ini. Saya yakin setiap dari kita mempunyai perspektif dan pengertian masing-masing berkaitan peristiwa hijrah ini.

  12. Harapan saya, semoga sambutan Ma’al Hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat seiring dengan konsep Al-Falah (berjaya) yang diperkenalkan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertujuan untuk menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang diperkenal oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

  13. Majlis ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM. Radio Nasional FM, Radio IKIM dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

    .
 Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
17 Julai 2023M / 28 Zulhijjah 1444H