KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JPM (HAL EHWAL AGAMA)
PEMBATALAN UJIAN PENILAIAN KELAS KAFA (UPKK) BAGI TAHUN 2020

1. Merujuk kepada perutusan YB Menteri Kanan Pendidikan pada 15 April 2020, keputusan untuk membuka semula sesi persekolahan adalah tertakluk kepada perkembangan semasa serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga kita benar-benar yakin keadaan telah kembali pulih. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mengambil keputusan membatalkan peperiksaan UPSR dan PT3 serta menangguhkan peperiksaan SPM, SVM, STPM dan STAM ke tahun 2021.

2. Selaras dengan keputusan KPM tersebut, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat keputusan bahawa pembukaan sesi persekolahan KAFA di seluruh negara juga akan dibuat mengikut ketetapan KPM. Dalam masa yang sama Pelaksanaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi subjek bertulis yang dijadual pada 28 September hingga 1 Oktober 2020 di seluruh negara adalah dibatalkan. Keputusan ini adalah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid-murid terjamin.

3. Pembatalan UPKK tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid setelah mengikuti pendidikan KAFA bermula Tahun 1 hingga 6 di peringkat rendah. Kemenjadian murid dalam pendidikan KAFA boleh dinilai dengan berbagai kaedah. Justeru, bagi tujuan ini, JAKIM akan menetapkan satu kaedah pentaksiran baharu bagi menggantikan ujian bertulis tersebut.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)
17 APRIL 2020 BERSAMAAN 23 SYAABAN 1441H