
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
BABAK DRAMA BERSIRI "BIDAAH" YANG MENGANDUNGI UNSUR YANG MENIMBULKAN KEGELISAHAN AWAM
Bil. 16/2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memanggil dan mengadakan pertemuan di antara pihak produksi dengan Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam, JAKIM bagi meneliti kandungan drama tersebut yang merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan bagi menilai kesan serta implikasi kandungannya.
2. JAKIM telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah, dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam. Pihak penerbit akur dengan teguran dan bersedia untuk memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarkat.
3. JAKIM sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan para seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama. JAKIM juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam, yang dikeluarkan pada tahun 2015, merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.
4. Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai salah satu cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat. Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan, dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai dan etika.
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
15 Mac 2025 Masihi / 14 Ramadan 1446 Hijrah