jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PRA PELANCARAN MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN (MTHQK)
PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H/2025M


Bil. 19/2025

bismillah 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


1. Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M (MTHQK) akan berlangsung di negeri Perlis selama enam (6) hari bermula pada 27 April hingga 2 Mei 2025 bersamaan 28 Syawal 1446H hingga 4 Zulkaedah 1446H. Majlis ini adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan MADANI dan akan berlangsung di Dewan 2020, Kangar, Perlis.

2. JAKIM ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perlis atas kesudian menjadi tuan rumah MTHQK 2025 di mana MTHQK merupakan program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri.

3. MTHQK 2025 akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 27 April 2025 (Ahad) jam 9.00 malam di Dewan 2020, Kangar, Perlis. Manakala Majlis Penutupan dan Pengurniaan Hadiah pula akan disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Tuanku Raja Negeri Perlis pada 2 Mei 2025 (Jumaat), 9.00 malam di tempat yang sama.

4. Penganjuran MTHQK tahun ini adalah kali yang ke-67 semenjak pertama kali dianjurkan pada 1960. Dengan sejarah yang panjang ini, ia menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan MTHQK kekal relevan dan segar bagi menarik minat semua golongan masyarakat Islam Malaysia. Istimewa penganjuran kali ini ia dianjurkan bersempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Penganjuran ini juga selaras dengan nilai MADANI yang sentiasa menekankan kesejahteraan umat melalui pengukuhan ilmu, pemerkasaan perpaduan dan kepimpinan yang berwibawa.

5. JAKIM dengan ini menyeru dan menjemput orang ramai hadir menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2025 di Dewan 2020, Kangar, Perlis bermula 27 April 2025 hingga 2 Mei 2025 dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 juga akan bersiaran secara langsung di saluran TV1 RTM, TV Al-Hijrah serta saluran media sosial rasmi JAKIM juga secara lintas langsung dari beberapa radio RTM.

6. Dimohon kerjasama semua rakan-rakan media untuk menguar-uarkan penganjuran majlis berprestij ini dan hadir membuat liputan acara seperti tarikh dan masa yang dinyatakan di atas.

Sekian, terima kasih.


DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
10 APRIL 2025 / 11 SYAWAL 1446H