Pembangunan sesebuah negara adalah dipacu berasaskan sistem nilai, amalan dan pemikiran. Menyedari hakikat ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia  (JAKIM)  melalui Bahagian Maqasid Syariah telah membangunkan Maqasid Syariah berfungsi sebagai teras dan kerangka asas dalam tadbir urus negara yang inklusif dan progresif. Aplikasi Maqasid Syariah menekankan kepentingan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta bagi mencapai kemaslahatan dalam kehidupan.
 
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Titah Baginda sempena istiadat pembukaan Parlimen Penggal Ketiga pada 18 Mei 2020 telah menggariskan agar pentadbiran negara dipacu oleh prinsip Maqasid Syariah.
 
Sehubungan dengan itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan melalui strategi 3P iaitu penjelasan, pembudayaan dan pengukuhan. Kaedah penjelasan dan pembudayaan dilaksanakan melalui jalinan strategik antara JAKIM dan agensi di peringkat persekutuan dan negeri.
 
Matlamat ini terangkum dalam Maqasid Syariah bagi memandu program pembangunan negara yang akhirnya memberi rahmat dan keadilan untuk seluruh rakyat Malaysia.
 
Sehubungan dengan itu, MyMaqasid diwujudkan dalam laman web JAKIM yang mengandungi hebahan dan bacaan berbentuk infografik/ video pendek/ bahan bacaan/ artikel/ buku yang disediakan dalam talian untuk faedah umum selaras dengan perkembangan teknologi. Melalui kemudahan ini orang awam boleh mengakses maklumat mengenai Maqasid Syariah khususnya dalam kerangka asas tadbir urus negara.