MOHAMAD KORI BIN JUSOHAssalamualaikum.
 
Syukur alhamdulillah JAKIM telah mengorak langkah maju setapak lagi ke hadapan dengan lahirnya Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang pada 1 April 2002. Bahagian ini pada asalnya bergabung dengan Pejabat Penasihat Undang-Undang sebelum ia dipisahkan menjadi Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan Undang-Undang. Pada Jun 2009, nama Bahagian ini telah diubah kepada Bahagian Penyelarasan Undang-Undang selaras dengan keputusan penstrukturan semula JAKIM. Pada 1 Disember 2018 nama Bahagian ini telah diubah sekali lagi kepada Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah. Fungsi utama Bahagian ini ialah untuk menyelaras penguatkuasaan dan pendakwaan syariah di seluruh Malaysia agar ia dapat berjalan dengan berkesan.
 
Sebagaimana yang kita ketahui, tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan syariah merupakan bidang kuasa negeri. Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa perkara-perkara berkaitan perundangan syariah di Malaysia adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Antara undang-undang syariah yang sedang berkuat kuasa di negeri-negeri ialah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah yang mengandungi peruntukan kesalahan-kesalahan seperti khalwat, meminum minuman yang memabukkan, perbuatan tidak sopan di tempat awam, persetubuhan haram, hamil luar nikah, tidak menghormati Ramadhan dan lain-lain.
 
Pada asasnya, penguatkuasaan undang-undang syariah merupakan tugas nahi munkar dan ianya salah satu usaha yang dapat menghindarkan umat Islam daripada melakukan maksiat dan pada masa yang sama mendorong mereka melakukan kebaikan. Selari dengan bidang kuasa yang ada, bahagian ini akan terus bekerjasama dengan Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) serta Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri-Negeri bagi merangka dasar-dasar penguatkuasaan dan pendakwaan syariah untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang Islam dilaksanakan dengan adil dan dilihat adil pelaksanaannya selaras dengan dasar Kerajaan ke arah rahmatan lil alamin.
 
Sekian, wassalam.
 
AHMAD HUSAINI BIN MUSTAFA
Pengarah
Bahagian Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia