Kurator Berita : Darul Quran
20 Oktober 2021 – Seramai 58 orang calon telah menduduki peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) di empat zon hari ini iaitu Zon Utara di Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR), Zon Selatan di Kolej Al-Quran Sayyidina Ali (KAQSA), Zon Timur di Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK Kelantan dan Zon Tengah di Darul Quran JAKIM. Calon-calon yang menduduki peperiksaan pada tahun ini merupakan calon yang telah membuat permohonan pada tahun 2020 kerana ujian tahun lepas terpaksa ditangguhkan akibat PKP serta penularan wabak COVID-19.

Untuk menduduki ujian secara norma baharu bagi tahun 2021 serta pematuhan terhadap SOP yang telah ditetapkan, setiap calon berumur 18 tahun ke atas mestilah telah lengkap dua dos vaksin manakala bagi calon berumur 17 tahun ke bawah sekurang-kurangnya satu dos vaksin di samping memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial satu meter.

Setiap calon perlu menjalani ujian bagi tiga maddah iaitu Hifz Al-Quran Syafawi, Hifz Al-Quran Tahriri serta Pengetahuan Agama Islam yang merangkumi subjek Akidah, Fiqh dan Tajwid.

Untuk rekod, Sijil Tahfiz Malaysia (STM) ini merupakan sijil yang dikeluarkan oleh JAKIM untuk memberi perakuan kepada penghafaz al-Quran di Malaysia yang telah melepasi ujian penilaian yang ditetapkan. Syarat-syarat permohonan adalah seperti berikut:

  • Warganegara Malaysia;
  • Berumur 17 tahun dan ke atas;
  • Telah menghafaz 30 juzuk al-Quran; serta
  • Mengemukakan sijil hafazan/surat pengesahan hafazan/rekod hafazan.
Calon STM 2021 Duduki Ujian Hari Ini

Sumber berita dari Laman Web Darul Quran : http://www.darulquran.gov.my/xs/page.php?id=482