Kurator Berita : Bahagian Pendidikan
Kedah, 14 Mac 2023 - Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telah mengadakan Majlis Penyerahan Komputer Riba Kepada Pusat KAFA Negeri Kedah Tahun 2023 bertempat di Dewan Masjid Al-Hasanah, Ampang Jajar, Alor Setar. Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) JHEAIK iaitu Yang Berbahagia Dato' Syeikh Ismi Anuar bin Haji Abdul Halim, DSDK., SDK., AMK., BCK.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Bahagian Pendidikan, JHEAIK kerana telah merangka satu inisiatif iaitu dengan melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat melalui Kelab Kebajikan Penyelia-penyelia KAFA Negeri Kedah dengan memohon sumbangan daripada pelbagai pihak untuk mengumpul dana bagi tujuan pembelian komputer riba secara berperingkat. "Ini merupakan satu usaha yang sangat baik dalam melibatkan pelbagai pihak agar turut bersama-sama dengan kerajaan membantu menyalurkan dana untuk menampung keperluan-keperluan dalam pengoperasian pendidikan khususnya Pendidikan Islam yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah", beliau turut berkata demikian selepas merasmikan majlis tersebut mewakili Pengarah JHEAIK.

Majlis tersebut diadakan bagi menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 100 buah Pusat KAFA dari setiap daerah di Negeri Kedah di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu memberi kemudahan kepada Guru-guru KAFA bagi melancarkan pengurusan pentadbiran di pusat KAFA. Selain itu juga, dengan adanya kemudahan ini, ia dapat membantu para guru menjalankan pengurusan sistem penyampaian maklumat dan penyediaan data yang lebih tepat memandangkan sebelum ini para guru terpaksa membeli komputer peribadi atau meminjam komputer riba dari kawan-kawan atau saudara-mara.

Tercetusnya Program CSR ini adalah untuk memberi peluang kepada individu-individu, syarikat-syarikat korporat, pertubuhan-pertubuhan serta agensi-agensi dalam membantu memberi kemudahan kepada Pusat-pusat KAFA di Negeri Kedah. Kaedah pemilihan Pusat KAFA yang layak menerima sumbangan tersebut adalah berdasarkan Pusat-pusat KAFA yang mempunyai Penggubal Soalan Peperiksaan Negeri. Ini adalah kerana dengan adanya penggubal tersebut, maka penggunaan komputer riba tersebut akan lebih diperlukan berbanding Pusat KAFA yang lain. Pemilihan tersebut terpaksa dibuat kerana jumlah komputer riba tersebut adalah terhad.

Semoga projek ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21 dan semoga mendapat sokongan daripada semua pihak sehinggalah objektif dan matlamat projek ini terlaksana dengan jayanya.

Penyerahan Komputer Riba Pusat KAFA Kedah 2023 1

Penyerahan Komputer Riba Pusat KAFA Kedah 2023 2

Penyerahan Komputer Riba Pusat KAFA Kedah 2023 3

Penyerahan Komputer Riba Pusat KAFA Kedah 2023 4