KUALA LUMPUR, 29 JUN 2024 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Pertubuhan IKRAM Malaysia telah menganjurkan Program “Anak Muda Hero Keluarga” sempena sambutan Hari Bapa 2024 bertempat di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur pada 29 Jun 2024. Program ini turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), dan Better Dads Malaysia.
Program yang berkonsepkan sembang santai ini dimulakan dengan sesi “Chit Chat with Influencers: Future Family Hero” yang membawakan 2 panel iaitu Dr. Ahmad Samhan bin Awang (health influencer), dan Encik Mohd Zakri bin Rihan atau lebih dikenali dengan nama Coach Zack (jurulatih keluarga LPPKN). Seterusnya disusuli Forum “Siapa Hero Keluarga?” yang menampilkan 3 orang panelis iaitu Encik Azlan Shah bin Nabees Khan (Ketua Pegawai Eksekutif ARBA Foundation), Encik Lee Kum Siak (Better Dads Malaysia), dan Coach Zack (jurulatih keluarga LPPKN). Kedua-dua sesi ini dikendalikan oleh Encik Aqil bin Junaidi, Strategis Media Sosial Pertubuhan IKRAM Malaysia.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, YB Menteri menyatakan penganjuran program ini menunjukkan komitmen Kerajaan khususnya agensi Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, berganding bahu bersama agensi kerajaan, IPT dan pertubuhan bukan kerajaan, dalam memupuk dan mendidik generasi muda mengenai tanggungjawab dan peranan mereka sebagai hero keluarga kelak. Program ini juga merupakan antara usaha berterusan agensi agama dalam menangani gejala sosial, krisis akhlak dan keruntuhan institusi keluarga. Selari dengan Teras 5 Pelan Transformasi Al-Falah 2023-2027 : Program Keluarga Sakinah, dan Teras 1 Pelan Tindakan Sosial Islam 2019-2025 : Pengukuhan Institusi Keluarga dan Sosial.
Majlis turut dihadiri YBhg. Dato' Haji Zamani Ahmad bin Mansor, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JAKIM, YBrs. Tuan Haji Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, YBrs. Prof. Dr. Hanim binti Salleh, Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd Al Ikhsan bin Ghazali, Timbalan Pengarah, Pusat Islam UTM Kuala Lumpur, YBrs. Encik Azlan Shah Bin Nazrudin, Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, dan YBrs. Encik Jason Leong, Penasihat Better Dads Malaysia.
Program yang melibatkan hampir 400 orang peserta dari kalangan pelajar-pelajar IPTA/IPTS, anak-anak muda dari pelbagai NGO, serta Angkatan Tentera Malaysia ini, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai pentingnya peranan bapa dalam keluarga, selain memberi penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan bapa dalam mendidik dan membimbing generasi muda, serta menggalakkan anak muda untuk mengambil inspirasi daripada tokoh-tokoh bapa sebagai model yang baik.
Melalui program "Anak Muda Hero Keluarga" ini, hasrat JAKIM agar sambutan Hari Bapa dapat dihayati dalam skop yang lebih luas. Bukan sahaja untuk meraikan para bapa tetapi juga untuk mendidik dan menyedarkan anak-anak muda, bakal ketua keluarga, mengenai tanggungjawab mereka di masa hadapan, serta sifat-sifat lelaki yang qawwam sebagai pemimpin dan pelindung keluarga. Yang mana perkara ini perlu difahami oleh semua bangsa dan agama, baik lelaki mahupun wanita.





















