Darul Quran telah menjalani Audit Pematuhan oleh SIRIM BERHAD bagi standard ISO 9001:2015, MS 1900:2014, dan ISO 21001:2018 selama dua hari pada 5 dan 6 Ogos 2024. Audit ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Darul Quran untuk memastikan pengurusan sistem kualiti berada pada tahap terbaik dan memenuhi standard antarabangsa serta keperluan syariah.
ISO 9001:2015 adalah standard yang menetapkan sistem pengurusan kualiti, dengan fokus pada kepuasan pelanggan dan peningkatan berterusan. Melalui pematuhan kepada standard ini, Darul Quran berkomitmen untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dan operasi bagi memenuhi keperluan semua pihak berkepentingan.
MS 1900:2014 pula adalah standard pengurusan kualiti berasaskan syariah yang memastikan prinsip etika Islam diterapkan dalam setiap aspek pengurusan dan operasi. Pematuhan kepada standard ini menunjukkan komitmen Darul Quran untuk menjalankan operasinya selaras dengan hukum syariah, sambil memastikan kualiti yang tinggi.
ISO 21001:2018 pula adalah standard untuk sistem pengurusan organisasi pendidikan. Ia membantu memastikan Darul Quran menyediakan perkhidmatan pendidikan yang efektif dan berkualiti tinggi, dengan fokus pada pemenuhan keperluan pembelajaran pelajar dan peningkatan berterusan dalam proses pengajaran. Menariknya, audit kali ini merupakan kali pertama Darul Quran menjalani audit bagi ISO 21001:2018 (EOMS).
Pelaksanaan audit ini adalah penting bagi memastikan semua proses dan sistem di Darul Quran selaras dengan standard-standard yang ditetapkan. Hasil audit menunjukkan tiada ketidakakuran yang ditemui, hanya beberapa penambahbaikan yang diperlukan seperti kemaskini garis panduan dan lain-lain.
Dengan pencapaian ini, Darul Quran sentiasa komited untuk mencapai kecemerlangan dalam pengurusan kualiti dan kepatuhan kepada prinsip-prinsip syariah. Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang proses audit ini.













