KUALA LUMPUR, KHAMIS, 11 OKTOBER 2024 – JAKIM melalui Cawangan Kajian al-Quran dan al-Hadith, Bahagian Penyelidikan telah menganjurkan World Quran Symposium 2024 (WQS ’24) yang bertemakan “Ummatic Transformation Through the Miracles of the Quran”. Simposium ini dilaksanakan di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur pada 10 Oktober 2024 yang dirasmikan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri. Program telah dianjurkan bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa kali ke 64 tahun 2024. Program berprestij ini turut dihadiri YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah, JAKIM dan Tuan Yang Terutama Syeikh Dr. Sameh bin Ahmad Khalid Athamneh, Hakim Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa, JAKIM serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.
WQS ’24 telah berjaya menghimpunkan peserta seramai 700 orang yang terdiri dari Tuan Yang Terutama Duta-duta, wakil-wakil agensi kerajaan dan swasta serta Pertubuhan Bukan Kerajaan dari seluruh Malaysia. Objektif penganjuran simposium ini ialah; (1) Memupuk persekitaran masyarakat yang cintakan al-Quran melalui penyelidikan dan pembangunan terhadap kandungan al-Quran dalam mentadbir tata kelola kehidupan sebagai individu dan ummah yang bertamadun; (2) Meningkatkan penghayatan masyarakat tentang kepentingan membaca, memahami dan mengamal melalui ibrah ayat-ayat suci al-Quran yang memfokuskan ke arah kelestarian negara; dan (3) Merealisasi pembudayaan menaakul melalui perbahasan berkaitan al-Quran yang disampaikan oleh para ilmuan dalam konteks kemajuan ummah dan negara yang berilmu serta sejahtera.
Pengisian simposium ini telah dimulai dengan pembentangan oleh YBrs. Profesor Dr. Jasser Auda, Pensyarah Pelawat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bertajuk “Al-Quran Preserves Civilization and Humanity”. Ia disusuli dengan sesi forum yang membincangkan tentang “Al-Quran dan Kesejahteraan Tamadun Insan” dan menampilkan barisan panelist tersohor iaitu: YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur bin Manuty, Pengerusi, Institut Kefahaman Islam Malaysia; YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Azizan binti Baharudin Ahli Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI); YBhg. Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi bin Abdullah Naib Canselor, Universiti Islam Selangor dan moderator: Encik Iszam bin Padil, Ketua Penolong Setiausaha, (Regulatori Al-Quran/Hadith) Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.
Simposium ini telah ditangguhkan dengan pembentang ucaptama yang bertajuk “Kelebihan Membaca al-Quran dan Tidak Meninggalkannya” yang disampaikan oleh TYT Sheikh Dr. Sameh bin Ahmad Khalid Athamneh, Hakim Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa.







