17 Februari 2025 – Darul Quran hari ini menganjurkan program Hari Huffaz: Selangkah ke Menara Gading yang berlangsung di Dewan Muktamar, Darul Quran. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai laluan pendidikan selepas tamat pengajian, dengan menghimpunkan institusi pengajian tinggi (IPT) serta wakil Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) JAKIM.
Sebanyak sembilan IPT serta SPH JAKIM turut serta dalam program ini bagi input yang diperlukan oleh para pelajar. Program ini melibatkan penyertaan pelajar semester enam Darul Quran serta pelajar dari lokasi tambahan Darul Quran yang sedang merancang perjalanan akademik mereka ke peringkat seterusnya.
Antara pengisian utama program ini termasuk sesi taklimat oleh wakil dari Seksyen Ijazah, Bahagian Education Malaysia (BEM), Unit Pusat Universiti (UPU), serta SPH JAKIM. Sesi ini memberikan maklumat penting mengenai peluang melanjutkan pengajian ke universiti tempatan dan luar negara, prosedur permohonan, serta skim pembiayaan yang tersedia bagi huffaz yang ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah.
Penganjuran program ini diharapkan dapat membantu para pelajar Darul Quran merancang masa depan akademik mereka dengan lebih baik serta mengukuhkan peranan golongan huffaz dalam pelbagai bidang di peringkat yang lebih tinggi.

















