Bandung, 17 Februari 2025 – Pelajar USIM Darul Quran (DQ) telah sedang melaksanakan program Global Islamic Students Outreach (GISO) di Bandung, Indonesia. Program yang bermula pada 16 Februari ini melibatkan seramai 37 ahli rombongan, termasuk pegawai Darul Quran, Pengarah Darul Quran, serta pensyarah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM.
Program outreach selama tujuh hari ini diisi dengan pelbagai aktiviti ilmiah dan kemasyarakatan. Antara acara utama ialah Diskusi Ilmiah antara USIM DQ dan Universiti Islam Negeri Sunan Gunung Djati (UINSGD) di bawah Fakultas Usuluddin. Diskusi Ilmu Tafsir ini telah dirasmikan oleh YBrs. Pengarah Darul Quran, Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Hashim. Majlis perasmian turut dihadiri oleh Prof. Dadan Rusmana M. Ag, Wakil Rektor Akademik UIN Sunan Gunung Djati.
Selain itu, program ini turut merangkumi pelbagai aktiviti outreach sepanjang enam hari berikutnya. Antaranya ialah Bitara Huffaz, kem ibadah, aktiviti memasak bersama penduduk, street dakwah, serta usrah dakwah bersama masyarakat di perkampungan sekitar Bandung. Setiap aktiviti ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pelajar dan komuniti setempat sambil menyemai nilai kepimpinan serta semangat dakwah dalam kalangan peserta.
Program GISO ini merupakan salah satu inisiatif wajib yang dianjurkan oleh pelajar sebagai sebahagian daripada pelengkap aktiviti kokurikulum sebelum menamatkan pengajian. Diharapkan program ini akan memberikan impak positif bukan sahaja kepada peserta tetapi juga kepada Darul Quran dan USIM dalam memperluaskan jaringan serta peranan di peringkat antarabangsa













