14 Mac 2025 – Seramai 40 orang peserta remaja berusia antara 13 hingga 18 tahun dari sekitar Hulu Selangor telah menyertai Pertandingan Hafazan Al-Quran yang berlangsung di Dewan Maktabah Darul Quran. Program ini diadakan sempena Rakan Muda Ramadan dan turut disertai oleh 30 orang pelajar Darul Quran yang mengikuti sesi tadarus Al-Quran.
Pertandingan ini dianjurkan oleh Unit Sukan Bahagian Hal Ehwal Pelajar Darul Quran, diketuai oleh Ustaz Mohamad Zaki bin Ibrahim selaku Ketua Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar, dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Kuala Kubu Bharu. Objektif utama program ini adalah untuk mencari juara hafazan yang akan mewakili daerah Kuala Kubu Bharu di peringkat negeri Selangor.
Majlis penyampaian hadiah dan penutupan program telah disempurnakan oleh Pengarah Darul Quran, Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim. Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan memelihara dan memartabatkan Al-Quran dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Turut hadir Puan Normiza binti Kadar Maidin, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Hulu Selangor.
Berikut adalah senarai pemenang bagi pertandingan tersebut:
Kategori Lelaki:
1. Johan: Muhammad Adam bin Nor Azli
2. Naib Johan: Al Imam Sibawaih bin Mohd Imamus Sobah
3. Tempat Ketiga: Muhammad Ilmi Qayyum bin Mohamad Zaini
4. Tempat Keempat: Muhammad Naufal Farhan bin Syapol Maarof
Kategori Perempuan:
1. Johan: Ainul Mar'iyyah binti Muhammad Fairuz
2. Naib Johan: Nurul Atikah binti Mohamad Ramli
3. Tempat Ketiga: Barizah binti Norshiedy
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas kejayaan yang dicapai. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang cintakan Al-Quran dan mampu menghafaznya dengan baik.
Semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sahsiah serta spiritualiti remaja Islam.



















