PUTRAJAYA, 17 Mac 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus komited dalam memperkasa kefahaman Maqasid Syariah melalui Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah Siri 4/2025. Program anjuran Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Bahagian Penerbitan ini telah berlangsung di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya dengan penyertaan 25 orang pegawai dari pelbagai peringkat pengurusan dan pelaksana JAKIM.
Kursus yang bermula jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi ini menampilkan Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid sebagai penceramah jemputan. Beliau merupakan penterjemah buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah, karya asal Prof. Dr. Ahmad Raysuni. Buku ini menghimpunkan 80 kaedah utama dalam Maqasid Syariah, dan perbincangan kali ini memberi tumpuan kepada Bab 2: Kaedah Penyucian Jiwa dan Kebaikan Manusia.
Empat kaedah telah dikupas secara mendalam dalam kursus ini adalah seperti berikut:
- Kaedah 17 – Setiap ilmu yang tidak menghasilkan amalan, maka tiada dalil syarak yang menunjukkan keelokannya;
- Kaedah 18 – Para Rasul diutuskan untuk memperteguh dan menyempurnakan fitrah, bukan mengubahnya;
- Kaedah 19 – Pengasasan Magasid al-shariáh adalah berdasarkan fitrah;
- Kaedah 20 – Sifat seimbang dan saling melengkapi antara benteng tabiat diri (al-wazi’ al-tabí’) dan benteng syarak (al-wazi’ al-shar’í).
Kupasan ini memberikan pemahaman bahawa syariat Islam bukan sekadar hukum hakam, tetapi satu sistem yang menawarkan penyelesaian kepada cabaran semasa dalam aspek ekonomi, pendidikan, dan sosial.
Kursus ini diakhiri dengan harapan agar ia menjadi platform berterusan dalam memperkukuhkan kefahaman falsafah hukum Islam. Kefahaman yang mendalam tentang Maqasid Syariah bukan sahaja membantu dalam pembentukan individu yang lebih holistik, tetapi juga menyumbang kepada pembinaan masyarakat yang harmoni, progresif, dan sejahtera selaras dengan tuntutan syariah.





