Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
SENTUL, 12 MAC 2025 (RABU) – JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (Unit Bimbingan Juvana) telah menganjurkan program Remaja dan Ramadan (RnR) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM KL) bertempat di Kompleks Darul Hidayah, Sentul Kuala Lumpur.

Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani (Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM) yang hadir mewakili Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Ucapan alu-aluan dalam majlis perasmian program RnR ini telah disampaikan oleh YBrs. Puan Noraziah binti Chemok Ali (Timbalan Pengarah JKM KL). Turut hadir, YBrs. Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin (TPO JAWI), YBrs. Puan Imlah bin Abd Aziz (KPPK BPD JAWI), YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali (KPP KSK JAKIM) dan YBrs. Puan Maznah binti Yusof (KPP KDH JAWI). Seramai 100 org peserta telah dijemput untuk mengikuti pengisian dalam program ini yang terdiri daripada anak-anak klien JKM KL di Sekolah Tunas Bakti Sg. Besi, Asrama Sentosa, Asrama Bahagia Kampung Pandan dan para remaja daripada Kompleks Darul Hidayah.

YBrs. Tuan Pengarah Bahagian KSK JAKIM dalam ucapan perasmiannya telah menyebutkan bahawa penganjuran RnR ini amat bertepatan dengan objektif program sebagai salah satu usaha berterusan oleh pihak JAKIM bagi membantu dan membimbing komuniti juvana agar dapat menjauhkan diri dari terjerumus dalam aktiviti yang merosakkan masa depan mereka dengan mengutamakan pemulihan kerohanian dari aspek akidah, akhlak dan sahsiah melalui pendekatan terapi psikospiritual Islam.

Pelbagai aktiviti dan LDK telah dijalankan dalam 2 slot pengisian utama yang bertajuk “OOTD Ramadan” dan “Siapakah Aku???” yang telah dikendalikan oleh YBrs. Ustazah Nur Hidayu binti Mohd Kamil (Selebriti Pendakwah Milenia TV3). Sebaik sahaja selesai majlis perasmian program RnR, kesemua para jemputan, peserta dan urus setia telah menyertai Iftar Jamaie dan seterusnya menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Program ini turut diserikan lagi dengan tajaan makanan serta minuman daripada rakan strategik iaitu Syarikat QSR Brand Holdings Berhad, Kilangan Makanan Mamee Sdn. Bhd dan Fraser & neave Holdings Berhad (F&N). Moga kerjasama erat ini dapat terus dikekalkan.

Semoga program ini memberi manfaat dan kesedaran kepada semua peserta sebagai panduan hidup di masa hadapan demi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat. Sirru ‘ala barakatillah.


PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 01

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 02

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 03

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 04

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 05

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 06

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 07

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 08

PROGRAM REMAJA DAN RAMADAN 09