Kangar, 10 April 2025 - Bersempena penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025, Majlis Pra Pelancaran Tilawah dan Hafazan Al-Quran 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis.
Majlis pra pelancaran ini telah disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Perlis, Tuan Haji Shukri bin Ramli dan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato' Setia Dr. Hj Mohd Na'im bin Hj. Mokhtar. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Rahimi bin Ismail, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee dan Timbalan Ketua Pengarah Dasar, YBrs. Dr. Mohd Kori Jusoh.
YAB Menteri Besar Perlis dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kerajaan Madani atas kepercayaan memilih Perlis sebagai tuan rumah MTHQK tahun ini. Menurut beliau lagi, banyak manfaat diperolehi daripada penganjuran majlis ini, antaranya dapat mempromosikan Negeri Perlis kepada delegasi dari seluruh Malaysia yang hadir dan akan berkampung di sini bersesuaian dengan Tahun Melawat Perlis pada tahun ini. Ekonomi negeri Perlis juga dapat dirancakkan melalui
tempahan penginapan delegasi dan tetamu yang hadir di hotel-hotel, homestay dan lain-lain penginapan yang terdapat di negeri ini.
Mewakili kerajaan Persekutuan pula, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga merakamkan penghargaan atas kesudian kerajaan Negeri Perlis yang menzahirkan komitmen tinggi sebagai tuan rumah MTHQK. Kerjasama ini merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta memperkasa agenda pembangunan ummah dan pembinaan generasi Al-Falah yang selari dengan aspirasi
Malaysia MADANI yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri.
MTHQK 2025 melibatkan penyertaan seramai 109 peserta daripada seluruh negeri. Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan (8) peserta iaitu dua (2) peserta dalam kategori tilawah Al-Quran manakala enam (6) peserta dalam pertandingan Hafazan Al-Quran. Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah perserta Tilawah adalah seramai 28 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14 orang Qariah. Bagi kategori hafazan, seramai 81 orang para huffaz lelaki dan wanita akan menyertai acara tersebut nanti.
Majlis pra pelancaran ini merupakan rangka mempromosikan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat 2025 yang akan berlangsung pada 27 April hingga 2 Mei 2025 di Dewan 2020, Kangar, Perlis. Semua masyarakat khususnya rakyat Perlis dan sekitarnya dijemput hadir untuk memeriah majlis yang penuh keberkatan ini.















