15 April 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak telah menganjurkan Program Penjelasan dan Penghayatan Buku ‘Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam’ karya Prof. Dr. Taha Jabir Fayyad Al-‘Alwani secara dalam talian.
Seramai 350 orang peserta telah menyertai program ini terdiri daripada pegawai Takmir, Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah Perak, Pegawai Masjid, Guru KAFA serta Organisasi Muslimat Daerah Parit Buntar.
Objektif penganjuran program ini adalah untuk meningkatkan pemahaman serta penghayatan peserta terhadap buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam bagi mendepani ancaman pepecahan ummah dan mendamaikan golongan yang bertelingkah. Selain itu, mengawal isu perpecahan dalam kalangan ulama mewakili fikrah atau aliran pemikiran tertentu yang akhirnya melahirkan pengikut yang ekstrem sehingga menimbulkan perdebatan dan pergaduhan secara terbuka. Seterusnya memberikan pendedahan kepada masyarakat memahami kandungan buku tersebut dan sebagai panduan dalam menjalani kehidupan pada masa kini dan akan datang.
Program ini telah menampilkan panel khas daripada Universti Islam Selangor selaku penceramah jemputan iaitu YBrs. Dr. Rosli bin Mokhtar. Sesi perkongsian yang disampaikan penceramah adalah “Perselisihan Pendapat dan Sejarah Perkembangannya” serta “Perbezaan Manhaj Para Imam dalam Melestarikan Keharmonian Pandangan”. Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam telah digunakan sebagai rujukan oleh penceramah dan para peserta dalam program ini.
Program ini telah melabuhkan tirainya dengan ucapan aluan daripada Puan Zuraini binti Yahaya Pengarah Bahagian Maqasid Syariah bagi mewakili Ketua Pengarah JAKIM. Seterusnya, Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Harith Fadhilah bin Haji Abdul Halim, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan harapan agar semua peserta dapat memainkan peranan penting dalam menangani isu perpecahan pemikiran dan perbezaan fikrah yang semakin ketara dalam masyarakat hari ini. Beliau turut menekankan kepentingan untuk menjadikan panduan yang terkandung dalam buku yang dibincangkan sepanjang program ini sebagai asas dalam membina pemikiran yang lebih seimbang dan harmoni.
Program ini bukan sahaja membuka ruang perbincangan yang sihat, malah memberi pencerahan terhadap isu-isu semasa berkaitan pemikiran masyarakat melalui lensa Maqasid Syariah.









