18 April 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Maqasid Syariah telah menerima kunjungan daripada Ana Muslim Sdn.Bhd. yang diketuai oleh YBrs. En Othman Bin Mohamed Ketua Pegawai Eksekutif Ana Muslim Sdn. Bhd. bersama tiga orang pegawai dalam rangka perbincangan ke arah kerjasama strategik bersama JAKIM.
Kunjungan ini disambut oleh Pengarah Kanan Bahagian Kemajuan Islam mewakili Ketua Pengarah JAKIM, YBrs. Puan Salwana binti Ahmad Dahlan dan disertai oleh Puan Zuraini binti Yahaya, Pengarah Bahagian Maqasid Syariah JAKIM dan beberapa orang pegawai kanan.
Program kerjasama strategik yang dibincangkan ini adalah satu usaha ke arah membuka ruang kepada sinergi baharu yang menjadi landasan penting untuk memperluas penyampaian mesej dakwah secara lebih terancang dan berimpak melalui Gagasan Kalimah Tayyibah, iaitu satu program mercu yang digagaskan oleh YB Senator Dato' Setia Dr Haji Mohd Na'im bin Mokhtar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Ana Muslim yang diterajui oleh Blue-T Communications Sdn. Bhd. merupakan antara pengeluar variasi buku Islamik, majalah, pakaian, cenderamata dan multimedia. Jaringan kolaboratif ini bakal memberikan manfaat kepada kedua-dua belah pihak khususnya dalam menyebarluaskan penggunaan kalimah tayyibah dalam kehidupan masyarakat, sejajar dengan matlamat membina tamadun yang berteraskan akhlak dan tauhid.





