Putrajaya, 24 Mei 2025 – Sesi Saringan Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali ke-65 Tahun 2025 / 1447H telah pun selesai dilaksanakan dengan jayanya. Sesi saringan ini telah diadakan secara dalam talian, manakala para hakim dan petugas telah ditempatkan di Studio Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Putrajaya.
Seramai 49 peserta dalam Kategori Hafazan dan 50 peserta dalam Kategori Tilawah dari 43 buah negara telah menyertai sesi saringan ini. Proses penilaian berjalan lancar dengan penuh profesionalisme dan integriti oleh barisan hakim bertauliah.
Para hakim telah membuat keputusan dan memilih peserta yang layak untuk menyertai pentas utama Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke-65 yang akan diadakan pada 2 hingga 9 Ogos 2025 bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).
Insya-Allah, surat jemputan rasmi kepada peserta yang terpilih akan dihantar pada pertengahan bulan Jun 2025.
Majlis ini akan disiarkan secara langsung melalui saluran RTM1 dan TV AlHijrah, memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menghayati kemuliaan kalam Ilahi.
Malaysia akan diwakili oleh:Kategori Tilawah:
1. Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan
2. Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi
Kategori Hafazan:
1. Muhammad Adib Ahmad Rozaini
2. Putri Auni Khadijah Mohd Hanif
Seluruh rakyat Malaysia dijemput untuk sama-sama memeriahkan majlis ini dan memberikan sokongan padu kepada para peserta, khususnya wakil negara, dalam usaha mengangkat syiar Islam dan memperkukuh hubungan ukhuwah melalui Al-Quran.








