PUTRAJAYA, 30 Mei 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terus menunjukkan komitmen tinggi terhadap prinsip integriti dan tadbir urus yang baik apabila seluruh pegawai dan kakitangannya melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Auditorium JAKIM, Putrajaya hari ini.
Lafaz ikrar tersebut diketuai oleh Ketua Pengarah JAKIM dan disaksikan oleh KPKPj Fadzillah binti Shamsuddin, Ketua Unit Integriti, Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebagai simbol keazaman warga JAKIM untuk menolak sebarang bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan.
Selain lafaz ikrar, majlis turut menyaksikan sesi menandatangani dokumen Ikrar Bebas Rasuah oleh Ketua Pengarah JAKIM, disaksikan secara rasmi oleh KPKPj Fadzillah binti Shamsuddin. Tindakan ini memperkukuh lagi komitmen jabatan terhadap amalan integriti secara menyeluruh, dari peringkat pengurusan tertinggi hingga ke akar umbi organisasi.
Majlis ini turut diserikan dengan Taklimat Khas bertajuk "Rasuah, Penyelewengan dan Salah Guna Kuasa" yang disampaikan oleh KPKPj Fadzillah binti Shamsuddin sebagai wakil daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Taklimat tersebut memberikan pendedahan tentang jenis-jenis kesalahan di bawah undang-undang, mekanisme pelaporan salah laku, serta peranan penting penjawat awam dalam membudayakan integriti dalam organisasi.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, pelaksanaan IBR ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan jabatan untuk memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan yang telus, efisien dan berlandaskan nilai-nilai Islam serta integriti tinggi.
Langkah ini membuktikan kesungguhan JAKIM dalam mendukung agenda nasional membanteras rasuah, dan dalam masa yang sama, memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi agama sebagai peneraju tadbir urus yang bersih dan beramanah.


Gambar 1: Bacaan Ikrar Bebas Rasuah oleh warga JAKIM
Gambar 2: Lafaz ikrar oleh KP JAKIM bersama pengurusan tertinggi JAKIM disaksikan oleh KPKPj Fadzillah binti Shamsuddin
Gambar 3: Sesi menandatangani dokumen IBR JAKIM dan disaksikan oleh SPRM
Gambar 4: Taklimat oleh Ketua Unit Integriti JPM, KPKPj Fadzillah binti Shamsuddin