Kurator Berita : Darul Quran
12 Jun 2025 (Khamis) – Seramai 101 orang calon telah menduduki Peperiksaan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) Siri 1 Tahun 2025 yang berlangsung serentak di tiga pusat peperiksaan mengikut zon.

Tiga lokasi pelaksanaan peperiksaan tersebut melibatkan zon tengah yang bertempat di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu; zon utara di Institut Tahfiz Al-Quran Darul Aman (IQDAR), Kedah; dan zon timur di Maahad Tahfiz Turath Negeri Pahang (MTTNP), Pahang.

Peperiksaan STM ini merangkumi tiga komponen utama, iaitu Hifz al-Quran Syafawi, Hifz al-Quran Tahriri, serta Pengetahuan Agama Islam yang meliputi aspek Akidah, Fiqh Ibadah, Tajwid, Ulum al-Quran dan Ulum Hadis.

STM merupakan inisiatif rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memberikan pengiktirafan kebangsaan kepada para huffaz yang memenuhi standard hafazan serta kefahaman agama secara menyeluruh.

Usaha ini juga seiring dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050, iaitu individu yang bukan sahaja mahir dalam hafazan al-Quran, malah memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang profesional dan ilmu moden.

Diharapkan agar semua calon yang menduduki peperiksaan ini dikurniakan kejayaan serta terus istiqamah dalam menggalas amanah besar sebagai pewaris al-Quran dan pendukung misi ummah.

calon duduk periksa 2025 01

calon duduk periksa 2025 02

calon duduk periksa 2025 03

calon duduk periksa 2025 04