PULAU PANGKOR, PERAK, 20-22 JUN 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah mengadakan Kursus Pascaperkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Perak 2025 pada 20-22 Jun 2025 (Jumaat hingga Ahad) bertempat di Coral Bay Resort, Pangkor, Perak. Peserta kursus adalah seramai 20 pasangan suami isteri (40 orang) yang terdiri daripada kakitangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) negeri Perak. Kursus ini bertujuan untuk untuk memperkukuh dan memantapkan hubungan suami isteri dengan nilai-nilai kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Peserta juga diberikan panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga dengan meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan untuk membangunkan keluarga Islam yang berakhlak mulia.
Sepanjang program ini, peserta diberikan pemantapan ilmu berkaitan Pengurusan Kesihatan Keluarga oleh Dr Azlina binti Azlan, Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah Kubang Pasu, Kedah, Pengurusan Kewangan Keluarga oleh En. Muaz bin Mahpuzillah selaku Speaker dari Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK), Motivasi dan Pengurusan Psikologi serta Ibadah oleh Puan Suzana binti Ghazali selaku Perunding Psikologi dan Guaman Syarie serta Pengurusan Stres dalam Rumah Tangga yang disampaikan oleh Ustaz Suhaimi bin Ahmad Wakid, Penolong Pengarah Kanan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor. Terdapat juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan slot Kenali Diri, Masam-Masam Manis, Azam dan Aku Janji serta Qiamullail dalam program ini yang dikendalikan oleh Fasilitator Kursus Pascaperkahwinan Islam terlatih iaitu En Hasli bin Othman dan En Nik Mohd Sukiman bin Nik Yusoff.
Majlis Penangguhan kursus telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Kamal bin Mohamad Noor, Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Bahagian Pembangunan Keluarga, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
Syabas dan tahniah kepada semua peserta Kursus Pasca Perkahwinan Islam Fasa Semarak Kasih Peringkat Negeri Perak 2025. Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.















