Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti

KUALA LUMPUR, 1-3 JULAI 2025 - Kemerosotan akhlak dalam masyarakat tidak dapat dinafikan berpunca daripada kelemahan diri individu terhadap aspek spiritual atau moral. Pemahaman dan pengamalan keagamaan yang tidak diberi penekananan menyebabkan masalah sosial semakin meruncing. Langkah untuk menyelamatkan manusia daripada semua perlakuan negatif adalah dengan menitik beratkan pendidikan kerohanian atau spiritual agar pertumbuhan jasmani dapat diimbangi dengan pertumbuhan rohani. Justeru itu, psikospritual Islam merupakan satu konsep pengabdian abadi dan penyerahan kepada Pencipta yang Maha Agung. Matlamatnya adalah untuk merawat kejiwaan atau kerohanian bersumberkan al-Quran dan Sunah. Pendekatan ini mampu menstabilkan diri, jiwa dan roh. Penghayatan terhadap psikospiritual Islam berupaya membantu setiap Muslim merasai tentang adanya pengawasan dan pemerhatian Allah SWT dalam segala amal perbuatan yang dilakukan setiap saat dan tempat. Keadaan ini seterusnya mampu membantu hati mengingati Allah dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang agama.

Menyedari situasi ini, JAKIM menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengambil inisiatif menggubal Modul Kemahiran Psikospiritual Islam secara bertahap iaitu tahap asas, pertengahan dan lanjutan. Bengkel ini telah diadakan sebanyak lima siri sepanjang tahun 2024 dan 2025 dengan objektif sebagaimana berikut:

  • Membangun kompetensi dan kapasiti Ahli Terapi Psikospiritual Islam Syarie (ATPS) dari segi spiritual bersumberkan Al Quran, Sunah dan amalan ahli sunah wal jamaah;
  • Memberi cadangan kaedah yang terbaik untuk menangani permasalahan bio-psiko-sosial-spiritual yang dialami oleh mana-mana individu berdasarkan kaedah yang digariskan dalam Islam; dan
  • Mengaplikasi penggunaan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam dengan betul dalam melaksanakan perkhidmatan pendekatan terapi psikospiritual Islam.

Bengkel pada kali ini  bagi memuktamadkan isi kandungan Modul agar menepati objektif yang telah digariskan. Lima orang fasilitator daripada Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dilantik selama dua tahun dalam menyiapkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam secara bertahap. Para fasilitator tersebut ialah Prof. Madya Dr. Syed Mohammad Hilmi b. Syed Abd.Rahman, Dr. Sharifah Basirah binti Syed Muhsin, Dr. Mohd Syukri bin Zainal Abidin, Dr. Mohd Manawi bin Mohd Akib. Mereka ini telah  diketuai oleh Prof. Dr. Che Zarrina binti Sha’ari yang kesemuanya berperanan memberi panduan, bimbingan dan rujukan selaku pakar dalam bidang terapi psikospiritual Islam. Bengkel libat urus sebelum ini telah diadakan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi dan JAKIM yang diwakili oleh para pegawai kader daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Penjara Malaysia (JPM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Selain itu pegawai daripada Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bahagian Dakwah JAKIM turut dilibat sama dalam bengkel ini bagi memastikan Modul ini relevan dan dapat digunakan dengan berkesan kepada sasaran.

Bengkel kali  ini telah dirasmikan oleh Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) mewakili Pengarah Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani.  Beliau mengharapkan Modul yang disiapkan ini dapat  diaplikasikan penggunaannya dengan betul kepada sasaran dalam melaksanakan pendekatan terapi psikospiritual Islam  oleh  para fasilitator KSKCC, guru-guru takmir  yang ditugaskan di Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta kader JAKIM di Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Bengkel Memuktamadkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam Siri 3 01

Bengkel Memuktamadkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam Siri 3 02

Bengkel Memuktamadkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam Siri 3 03

Bengkel Memuktamadkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam Siri 3 04

Bengkel Memuktamadkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam Siri 3 05

Bengkel Memuktamadkan Modul Kemahiran Psikospiritual Islam Siri 3 06