Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
PORT DICKSON, 11 - 13 JULAI 2025 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), dengan sokongan Yayasan Taqwa – MAIWP telah menganjurkan Kem Bimbingan Spiritual Siri 2/2025 bertempat di Port Dickson Golf & Country Club, Negeri Sembilan. Program selama tiga hari ini melibatkan 43 orang peserta daripada komuniti transgender yang sedang dalam proses penghijrahan rohani dan perubahan ke arah kehidupan yang lebih diredai Allah.

Program ini merupakan platform menyantuni golongan hijrah dengan pendekatan psikospiritual Islam, menyemai nilai kasih sayang, membina kekuatan jiwa, dan membimbing mereka kembali kepada fitrah insani. Inisiatif ini mencerminkan komitmen JAKIM dalam mendukung konsep rahmatan lil alamin serta mendekati komuniti dengan pendekatan yang inklusif, empatik dan penuh hikmah.

Antara pengisian utama yang dilaksanakan ialah Qiyamullail & Solat Berjemaah, Slot “Tanyalah Ustaz”, Sesi Muhasabah Diri & Terapi Jiwa, Bimbingan Psikologi & Perkongsian Pengalaman Hijrah.

Majlis perasmian kem ini telah disempurnakan oleh Ustaz Ahmad Tarmizi bin Mahmud, Penolong Pengarah (Kanan), Bahagian KSK JAKIM yang menggantikan Ustazah Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Pembangunan Sosial, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM yang tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.

Program ini turut mendapat bimbingan profesional daripada konsultan pembangunan insan Smart Triple IQ yang menyampaikan modul intervensi perubahan tingkah laku dan motivasi diri secara sistematik dan mesra peserta. Turut bersama ialah Ustaz Muttaqin, Ketua Agihan Zakat, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan yang berkongsi maklumat mengenai ruang dan peluang bantuan komuniti transgender daripada zakat.

Secara keseluruhan, program ini menerima maklum balas yang amat positif daripada para peserta. Mereka meluahkan rasa syukur dan terharu kerana diberi ruang untuk dibimbing tanpa prejudis. Ramai yang menyifatkan program ini sebagai titik mula perubahan hidup dan memberi impak besar kepada hati dan pemikiran mereka.

Menyantuni Komuniti Transgender Dengan Hikmah 01

Menyantuni Komuniti Transgender Dengan Hikmah 02

Menyantuni Komuniti Transgender Dengan Hikmah 03

Menyantuni Komuniti Transgender Dengan Hikmah 04

Menyantuni Komuniti Transgender Dengan Hikmah 05