HIV/AIDS telah menjadi kebimbangan global sejak sekian lama. Ia tidak lagi menjadi masalah perubatan semata-mata, tetapi telah meluas menjadi masalah sosial dan masalah agama Islam. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk berprasangka buruk (stigma) dan melakukan diskriminasi kepada orang yang menghidapi penyakit termasuklah penghidap HIV/AIDS. Justeru, JAKIM terus komited mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi penghidap HIV/AIDS supaya mereka dapat merasai diri mereka masih disayangi dan seterusnya menjalani kehidupan sepertimana insan-insan lain dengan penuh bermakna mengikut cara hidup Islam.
Berikutan keadaan tersebut, JAKIM menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengambil inisiatif mengemaskini Manual Islam HIV/AIDS yang telah digubal oleh JAKIM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun 2009. Semakan dan penambahbaikan Manual ini bersesuaian dan bertepatan dalam masa Malaysia kini berdepan lonjakan ketara kes jangkitan HIV dalam kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Manual edisi kedua ini lebih berfokus dan berinformasi sebagai panduan dan rujukan kepada pegawai Hal Ehwal Islam di JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), para imam dan guru-guru takmir yang bertauliah. Mereka akan diberi pendedahan dan latihan menggunakan Manual ini dalam melaksanakan pendekatan pencegahan yang lebih berani dan kreatif bersesuaian dengan jiwa golongan belia dan anak muda mengenai maklumat HIV/AIDS sebagai satu tugas dan tanggungjawab dalam memerangi HIV/AIDS. Seterusnya mereka akan menyampaikan maklumat yang sahih mengenai HIV/AIDS kepada masyarakat umum seterusnya berupaya menghapuskan stigma dan diskriminasi dalam masyarakat.
Bengkel ini telah dihadiri oleh pegawai-pegawai perubatan seperti Dr. Fazidah Yuswan, Dr. Siti Nor Mat daripada Bahagian Kawalan Penyakit Kesihatan Awam Unit HIV/STI/Hepatitis C, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Malaysian AIDS Foundation yang diwakili oleh pengerusi dan timbalan pengerusi Harm Reduction Action Network (HaRAN) iaitu YBhg. Dato’ Indera Dr. Sa’ari Ngadiman dan Dr. Anita binti Suleiman. Selain itu pegawai-pegawai daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bertugas di Ilaj Home iaitu rumah perlindungan sementara bagi Orang yang Hidup dengan HIV/AIDS (ODHA), Bahagian Penyelidikan JAKIM, Bahagian Dasar Kemajuan Islam JAKIM dan Majlis AIDS Malaysia (MAM).
Bengkel perasmian penutup telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM iaitu Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani. Beliau mengharapkan Manual Islam HIV/AIDS Edisi Kedua ini diaplikasikan penggunaannya dengan betul dalam melaksanakan sokong bantu menerusi pendekatan Islam dalam menangani HIV/AIDS oleh para agamawan. Bengkel ini telah diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli-ahli bengkel yang telah hadir.













