Kuala Lumpur, 29 Julai – Bersempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa 1447H/2025M, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melancarkan satu inisiatif promosi gaya kini melalui penganjuran program Al-Quran Di Mana-Mana: Jelajah Tilawah, Tadabbur dan Dakwah iaitu sebuah perjalanan spiritual yang menggabungkan pembacaan al-Quran secara berterusan, penghayatan ayat-ayat suci, serta penyampaian mesej dakwah rentas sempadan dari KL ke Hatyai melalui ETS dan SRT.
Majlis pelepasan peserta telah berlangsung di KL Sentral dan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM. Turut hadir, YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, En Azfar Zakariya, Ketua Pegawai Operasi KTMB, Dr. Muhamad Yamin bin Ismail, Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, dan Tuan Haji Mohd Ansarullah Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran JAKIM.
Ketika berucap, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee menyeru agar program seumpama ini diperluas dan diperkasa dari semasa ke semasa. “Kalau hari ini kita bebas menyanyi di mana-mana, mengapa tidak kita ubah trend dengan membawa al-Quran ke mana-mana, membacanya, menghayatinya, juga mentadabburnya dalam setiap ruang kehidupan. Inilah cara kita mengangkat al-Quran sebagai panduan, bukan sekadar bacaan, tetapi sebagai sumber kekuatan jiwa dan penyuluh peradaban.”
Encik Afzar Zakariya, Ketua Pegawai Operasi KTMB mengulas bahawa pihak KTMB menyambut baik penganjuran Program “Al-Quran Di Mana-Mana: Tilawah dan Tadabbur” oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). “Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam rel negara, KTMB berbesar hati untuk menyumbangkan 50 tiket tren pergi dan balik, serta menawarkan diskaun sebanyak 50% bagi 50 tiket tambahan yang lain. KTMB yakin bahawa rangkaian perkhidmatan tren yang disediakan bukan sahaja memperkukuh kemudahan mobiliti rakyat, malah berpotensi menjadi platform dakwah yang lebih segar, inklusif dan merentasi sempadan. KTMB amat menghargai kerjasama dan mungkin pada tahun hadapan, program seumpama ini boleh diperluaskan ke wilayah selatan dan pantai timur.”
Seramai 100 peserta terdiri daripada pelajar Darul Quran JAKIM, Rakan Siswa YADIM, pegawai JAKIM dan rakan media menyertai program ini dengan membawa misi menjulang al-Quran sebagai panduan hidup serta menjadikan perjalanan ini sebagai ruang untuk memperluas jaringan dakwah serantau bersama rakan strategik, khususnya Sekretariat Dakwah Korporat JAKIM.
Sepanjang laluan dari ibu negara ke selatan Thailand, peserta terlibat dalam tilawah al-Quran tanpa henti, diiringi dengan sesi tadabbur dan perkongsian ibrah. Setiap perhentian bukan sekadar transit fizikal, malah menjadi medan untuk menyemai hikmah, menyampaikan mesej kebaikan, dan menyeru kepada nilai-nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin.
Inisiatif ini merupakan manifestasi komitmen JAKIM untuk memartabatkan al-Quran dalam ruang kehidupan masyarakat, sambil memperkasa agenda jelajah dakwah berteraskan Malaysia MADANI dengan membawa risalah Islam secara berhikmah, melangkaui sempadan geografi dan budaya.







