Putrajaya, 12 Ogos 2025 – Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti UCYP bagi pelaksanaan Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-UCYP.
Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung di Kompleks Islam Putrajaya dan dihadiri oleh YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah JAKIM; YH. Profesor Dato' Dr. Muhammad Fauzi bin Mohd Zain, Naib Canselor Universiti UCYP; Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM; Tn. Hj. Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran; serta pegawai-pegawai kanan JAKIM dan UCYP.
Di antara objektif Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran adalah melebarluaskan jaringan dan kerjasama di antara JAKIM dengan institusi pengajian tinggi bagi melahirkan Huffaz Profesional yang berkualiti dan berketerampilan demi menyahut saranan kerajaan dalam usaha memperkasakan masyarakat MADANI.
YBhg. Dato' Dr. Sirajuddin bin Suhaimee dalam ucapannya menegaskan bahawa kerjasama ini diharap dapat melahirkan generasi al-Quran yang bertakwa, berilmu dan bermanfaat kepada pembangunan negara dan ummah, selaras dengan hala tuju Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang memperkenalkan gagasan “Al-Falah” (menuju kejayaan).
Perjanjian ini juga bertujuan memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tahfiz melalui pengiktirafan akademik yang diiktiraf di peringkat nasional.
Dengan termeterainya MoU ini, kedua-dua pihak akan memulakan pelaksanaan program secara berperingkat termasuk pembangunan modul kurikulum, latihan tenaga pengajar dan sistem penilaian yang standard.







