8-10 September 2025, Ipoh, Perak. Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM telah mengadakan Kursus Pemantapan Kompetensi Penceramah Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam kepada seramai 32 orang penceramah dari Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor. Kursus ini dilaksanakan bertujuan untuk memberi Latihan yang berterusan dalam usaha memantapkan kemahiran para penceramah yang telah dilantik setelah mengikuti Kursus Asas Training of Trainer (TOT) bagi mengendalikan modul yang dibangunkan untuk pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam di seluruh Malaysia.
Usaha ini merupakan manifestasi kepada komitmen JAKIM dalam usaha untuk membangunkan kompetensi penceramah yang berkualiti dan efisien dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan Kursus Praperkahwinan Islam.
Bagi menjayakan kursus pemantapan ini, para peserta telah menerima bimbingan melalui modul kejurulatihan yang dibangunkan secara berstruktur bersama Tuan Haji Jalil bin Saad sebagai ketua pembimbing. Selain beliau, peserta turut dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Md. Noor bin Saper dan Ustaz Mohd Firdauz bin Shurkhan. Gandingan ketiga-tiga penceramah tersebut telah memberi impak pelaksanaan program yang lebih komprehensif iaitu meliputi aspek teori dan praktikal, dimana para peserta bukan sahaja menerima bimbingan tetapi turut mempersembahkan kemahiran penyampaian pengajaran masing-masing berasaskan pembelajaran yang telah diikuti.
Majlis penutupan kursus ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hazizah binti Yusof, KPPK Cawangan Pembangunan Keluarga bagi mewakili YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM. Dalam majlis perasmian tersebut, YBrs. Puan Hazizah binYusof telah menyampaikan Hasrat JAKIM agar para penceramah terus berusaha mempertingkatkan kompetensi, iaitu kemahiran dan pengetahuan masing-masing bagi memastikan penyampaian yang lebih berimpak. Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) telah bekerjasama dalam memastikan penyertaan peserta dalam program ini. Ujar beliau, JAKIM akan terus berusaha melaksanakan agenda dalam membantu penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat dengan adanya kerjasama bersama JAIN.



















