PUTRAJAYA, 12 November 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Unit Integriti, dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) dan Sekretariat Dakwah Korporat (SDK), telah menganjurkan Seminar Integriti Sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat JAKIM Tahun 2025 dengan temanya “Integriti Teras Kesejahteraan Negara” bertempat di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.
Seminar ini bertujuan untuk memperkukuhkan budaya integriti dalam kalangan warga JAKIM, di samping meningkatkan kesedaran terhadap nilai amanah, tanggungjawab dan etika kerja yang berteraskan ajaran Islam dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab terhadap organisasi serta masyarakat.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, dan menghimpunkan kira-kira 450 orang terdiri daripada warga kerja JAKIM, Agensi di Bawah JPM (Hal Ehwal Agama), Penyelaras Pentadbiran Masjid Daerah dan Penyelia KAFA.
Dalam ucapan perasmian, TKPO JAKIM menegaskan bahawa integriti perlu dipertahankan dengan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT, terutama bagi menangkis cabaran yang lebih hebat di era serba digital. Beliau menekankan,
“Kita perlu bertanggungjawab kepada Allah SWT, akauntabiliti Allah SWT, akauntabiliti kepada pemegang taruh, akauntabiliti kepada masyarakat dan juga pelanggan. Paling penting ialah kita wajib bertanggungjawab kepada diri sendiri untuk mengelak daripada melakukan perkara yang bertentangan undang-undang atau bertentangan tatakelola dan apa juga yang boleh menjerat hingga dikenakan tindakan undang-undang.”
Seterusnya, sesi Ibrah Integriti bertajuk: “Tiang Seri Kepimpinan dan Amanah” yang dibawakan oleh YBhg. Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz, memberi ibrah dan panduan praktikal mengenai kepentingan integriti dalam kepimpinan serta pengamalan amanah dalam tugas harian, selaras dengan prinsip Islam.
Terdahulu, program ini dimulakan dengan Ceramah Integriti bertajuk “Integriti Teras Kesejahteraan Negara” yang telah disampaikan oleh YBrs. Puan Munah binti Abdul Aziz daripada Institut Integriti Malaysia (IIM). Ceramah ini menekankan peranan setiap penjawat awam dalam memperkukuh sistem tadbir urus yang berintegriti tinggi bagi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Antara program yang dianjurkan sempena sambutan ini juga ialah Program Pemantapan Integriti Pengurusan Tahfiz di Darul Quran Tahun 2025 dengan kerjasama Darul Quran dan Unit Integriti Jabatan Perdana Menteri. Program ini diadakan sebagai usaha untuk memperkukuhkan kefahaman dan kesedaran kepada pegawai dan kakitangan Darul Quran dalam memastikan tahap integriti tertinggi pegawai dipelihara serta bebas dari rasuah.
Selain itu, juga turut diadakan Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertajuk ‘Integriti Cerminan Iman’ pada 06 November 2025 dan Khutbah pada Jumaat 14 November 2025 bertajuk ‘Wabak Jiwa Racun Ummah’.
Penganjuran program-program ini diharap dapat menyemarakkan semangat integriti dalam kalangan penjawat awam khususnya warga jabatan ini, selaras dengan hasrat jabatan untuk melahirkan penjawat awam yang berdisiplin, telus dan bertanggungjawab serta menjadi contoh kepada agensi-agensi lain dalam perkhidmatan awam.


Gambar 1 & 2: Ucapan Perasmian oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji MOhd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM


Gambar 1 & 2: Ucapan Perasmian oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji MOhd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM

Gambar 3: TKPO JAKIM menyemai nilai integriti dalam kenangan bersama peserta seminar
Gambar 4: Peserta seminar bergambar bersama penceramah jemputan
Gambar 5: Ceramah Integriti oleh Puan Munah binti Abdul Aziz, Institut Integriti Malaysia (IIM)
Gambar 6: Ibrah Integriti oleh YBhg. Dato’ Ustaz Mohd Kazim Elias Al Hafiz
Gambar Program Pemantapan Integriti Pengurusan Tahfiz di Darul Quran Tahun 2025 pada 28 Oktober 2025 di Auditorium Sheikh Mohd Noor, Darul Quran



Gambar Forum Perdana Hal Ehwal Islam di Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar, Perak