15 Februari 2026 — Pelajar Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Muhammad Fathi Safwan bin Eshak telah mengharumkan nama institusi apabila berjaya merangkul Johan bagi kategori Hafazan 1–10 Juzuk dalam Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) ASEAN 2025/2026 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.
Majlis berprestij anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini telah berlangsung selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Februari 2026, melibatkan penyertaan para pelajar dari pelbagai institusi pendidikan tinggi di peringkat kebangsaan dan rantau ASEAN. Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Muhammad Fathi Safwan yang merupakan pelajar Semester 4 Darul Quran telah mempamerkan hafazan yang cemerlang serta penguasaan bacaan yang mantap, sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai johan bagi kategori Hafazan 1–10 Juzuk.
Selain itu, Darul Quran turut mencatatkan pencapaian membanggakan melalui penyertaan pelajar lain dalam pertandingan tersebut. Bagi kategori Hafazan 1–20 Juzuk, pelajar Semester 6, Abdullah Fayyadh Hakimeey bin Abd Hamid berjaya meraih tempat keempat. Manakala bagi kategori Tilawah Tempatan, pelajar Semester 2, Wan Ahmad Nur Firas bin Wan Mohd Nurussabah memperoleh tempat kelima.
Kejayaan ini mencerminkan komitmen, kesungguhan serta kecemerlangan para pelajar Darul Quran dalam menguasai bidang hafazan dan tilawah Al-Quran dengan penuh dedikasi dan istiqamah.
Pihak Darul Quran merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang telah mengharumkan nama institusi di pentas pertandingan berprestij ini. Kejayaan ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga Darul Quran untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, sekali gus melahirkan lebih ramai huffaz yang berkualiti, berdaya saing dan mampu memartabatkan Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.





