MASJID SELAT, PULAU MELAKA, MELAKA, 25 FEBRUARI 2026 - JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan program Remaja dan Ramadan (RnR) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka bertempat di Masjid Selat, Pulau Melaka, Melaka.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Hazizah binti Yusoff (KPPK Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM) yang menjalankan tugas Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh YBrs. Puan Halyjah binti Muhamad (Pengarah JKM Melaka). Turut hadir, YBhg. Dato’ Mohd Nordin bin Samah (KPP UUKI JAIM), dan YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali (KPP KSK JAKIM). Seramai 100 org peserta telah mengikuti program ini yang terdiri daripada anak-anak klien JKM Melaka di Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh, Asrama Bukit Baru Melaka, Rumah Kasih Tun Abdul Aziz dan Anjung Putra Melaka.
YBrs. Puan KPPK Bahagian KSK JAKIM dalam ucapan perasmiannya telah menyatakan bahawa penganjuran RnR ini amat bertepatan dengan objektif program sebagai salah satu usaha berterusan oleh pihak JAKIM bagi membantu dan membimbing klien JKM agar dapat menjauhkan diri dari terjerumus dalam aktiviti yang merosakkan masa depan mereka dengan mengutamakan pemulihan kerohanian dari aspek akidah, ibadah dan akhlak melalui pendekatan terapi psikospiritual Islam.
Pelbagai aktiviti dan LDK telah dijalankan dalam 2 slot pengisian utama yang bertajuk “OOTD Ramadan” dan “Ma’rifatun Nafs” yang telah dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Aiman Syafiq dan para fasilitator dari Caliph Soul Consultant. Sebaik sahaja selesai majlis perasmian Program RnR, kesemua para jemputan, peserta dan urus setia telah menyertai Iftar Jamaie dan seterusnya menunaikan solat tarawih secara berjemaah. Program ini turut diserikan lagi dengan tajaan makanan serta minuman daripada rakan strategik iaitu Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) dan Syarikat QSR Brand (M) Holdings Berhad. Semoga kerjasama erat ini dapat terus dikekalkan.
Semoga program ini memberi manfaat dan kesedaran kepada semua peserta sebagai panduan hidup di masa hadapan demi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat. Sirru ‘ala barakatillah.

















