Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat

TAMBUN, 5 April 2026 – Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat terus dizahirkan menerusi penganjuran Program Satelit Komuniti Rakyat sempena Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 yang berlangsung meriah di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Tambun, hari ini.
 
Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ini menjadi antara pengisian penting dalam siri program satelit PMR yang diadakan serentak di sekitar Ipoh, Perak.
 
Menariknya, program ini bukan sekadar acara rasmi, malah turun padang menyantuni komuniti secara langsung dengan melibatkan lima buah masjid sekitar Tambun iaitu Masjid An-Nur Batu 8, Masjid Abu Ubaidah Taman Perpaduan, Masjid Ar-Rashid Tambun, Masjid Jamek Tanjung Rambutan dan Masjid Saidina Umar Al-Khattab.
 
Pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta perkhidmatan agensi kerajaan telah dilaksanakan, bertujuan mendekatkan institusi kerajaan dengan masyarakat, di samping mengukuhkan ukhuwah dalam kalangan anak kariah.
 
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Puan Marhamah binti Rosli, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf. Sebanyak RM5,000 disumbangkan oleh PACU, manakala sumbangan daripada agensi-agensi agama seperti JAWHAR, YADIM, YAPEIM, Yayasan Taqwa dan IKIM berjumlah RM35,000.
 
Sumbangan ini diharap dapat meringankan beban serta memberi sinar harapan kepada penerima, khususnya dalam kalangan anak-anak asnaf di kariah masjid sekitar Tambun.
 
Penganjuran program ini jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa komuniti melalui pendekatan turun padang, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

PROGRAM SATELIT KOMUNITI 01

PROGRAM SATELIT KOMUNITI 02

PROGRAM SATELIT KOMUNITI 03