BANDAR BARU BANGI, 15 April 2026 : Mengambil semangat madrasah ukhuwwah dalam bulan Syawal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, AADK Negeri Selangor, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor telah berjaya menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Klien AADK bertempat di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Seramai 46 orang peserta dalam kalangan Klien AADK yang berada di dalam tempoh pengawasan pihak AADK Hulu Langat telah hadir mengikuti program yang bermula dengan slot 1 : Terapi Zikir dan Makrifatun Nafs disusuli dengan solat dhuha secara berjemaah dan slot 2 : Tahsin Thoharah dan Rawatan Diri melalui Ilaj Syarie yang disampaikan oleh penceramah jemputan dari Masjid Putra, Putrajaya, YBrs. Ustaz Mohd Mustafidurrohman bin Mohd Syahroni yang juga merupakan tenaga pengajar dan fasilitator KSK Care Centre JAKIM.
Program kolaborasi antara rakan strategik ini turut dihadiri YBrs. Puan Norihan binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, YBrs. Tuan Mohd Safian bin Abdul Rahman, Nazir Masjid Al-Hasanah, YBrs. Tuan Shamsuri bin Nasri, Bahagian Rawatan dan Pemulihan AADK Negeri Selangor, YBrs. Puan Nor Hafiza binti Mohd Salleh, Ketua Unit Rawatan dan Pemulihan AADK Daerah Hulu Langat, barisan AJK Masjid Al-Hasanah serta barisan urus setia dari JAKIM dan AADK.
Antara objektif utama penganjuran program adalah untuk membimbing dan merawat dalam usaha membantu memulihkan klien dengan menggunakan pendekatan spritual yang komprehensif (integrasi naql dan aql), membantu transformasi diri (tazkiyyatun nafs) klien dalam memahami tujuan kehidupan, peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT serta menjadikan institusi masjid sebagai one stop centre atau pusat bimbingan dan pemulihan bagi permasalahan gejala sosial.
Semoga program ini dapat membantu memulihkan para klien AADK dengan elemen pendekatan nurani dan dimensi spritual disamping mendekatkan jiwa sanubari para peserta dengan masjid. Secara tidak langsung, disinilah peranan komuniti dan institusi masjid yang bukan sahaja berperanan sebagai pusat ibadah semata-mata bahkan sebagai platform transformasi sosial kepada seluruh lapisan masyarakat.







