24 JUN 2026 / 8 MUHARAM 1448H I SERDANG SELANGOR, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) berkolaborasi dengan Pusat Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Bengkel Kemahiran Asas Khidmat Nasihat dan Bimbingan Agama. Program separuh hari ini diadakan di Bilik Seminar Al-Biruni Smart Space Masjid UPM dihadiri oleh 20 orang pegawai dan kakitangan Pusat Islam dan juga anggota perkhidmatan UPM dari fakulti veterina serta fakulti sains kemanusiaan.
Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberi bimbingan kemahiran dan pengetahuan kepada para peserta dalam mengaplikasi pendekatan kaunseling syarie serta psikospiritual Islam secara integrasi semasa mengendalikan sesi khidmat nasihat dan bimbingan agama kepada klien. Ucapan Perasmian telah disempurnakan oleh Encik Zuhaimi bin Abdul Rahim, Pengarah Pusat Islam UPM.
Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang pakar dalam bidang telah membuka minda para peserta dalam mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam proses memberi khidmat nasihat dan bimbingan kepada klien kelak. Slot perkongsian ilmu dan simulasi kaunseling syarie dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper, pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Beliau juga terlibat secara langsung dalam membangunkan modul berkaitan bersama Bahagian KSK JAKIM.
Semoga dengan penganjuran program begini dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada peserta selanjutnya dapat memberi perkhidmatan dengan lebih berkesan.



