SEMINAR KEIBUBAPAAN NEGERI PERAK 2026 : MENDIDIK GENERASI ALPHA, MEMBENTUK GENERASI RABBANI
IPOH, 24 September 2026 - Dunia yang hanya di hujung jari, dengan maklumat tanpa sempadan dan pengaruh tanpa tapisan. Realiti dunia hari ini memerlukan ibu bapa sebagai kompas yang membimbing anak-anak agar tidak hilang arah dan membentuk jiwa mereka dengan pasak agama. Menyedari cabaran inilah, JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) telah menganjurkan Seminar Keibubapaan Negeri Perak 2026 dengan tema “Parenting Anak Generasi Alpha” di Dewan Auditorium Saidina Omar, Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Ipoh.
Seminar yang dihadiri lebih 200 orang ibu bapa ini sarat dengan perkongsian ilmu dan bimbingan praktikal dalam mendidik anak-anak generasi alpha oleh Tuan Fhais Salim, Perunding Kekeluargaan yang tidak asing lagi. Antara perkara yang ditekankan ialah kemahiran keibubapaan digital dan seni memarahi anak. Para peserta diingatkan bahawa anak-anak perlu ditegur, tetapi tidak dipatahkan semangatnya. Mereka perlu dibimbing, namun dalam masa yang sama perlu merasakan bahawa rumah dan ibu bapa ialah tempat paling selamat untuk mereka kembali.
Perasmian seminar ini telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Mohd Kamal Mohd Noor, Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak, dan ucapan alu-aluan dari YBrs. Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM. Penganjuran seminar ini menjadi wadah untuk menyedarkan bahawa membesarkan anak bukan sekadar menyediakan keperluan fizikal mereka, tetapi juga tentang menyediakan hati, masa dan jiwa untuk mendengar, memahami dan membimbing mereka dalam dunia yang semakin mencabar.








